Gambar fail menunjukkan Thunberg berbalah dengan anggota polis dalam protes diadakan di London. - FOTO Reuters
Gambar fail menunjukkan Thunberg berbalah dengan anggota polis dalam protes diadakan di London. - FOTO Reuters
Bernama-Dpa

London: Greta Thunberg akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Westminster London pada Rabu atas dakwaan menjejaskan ketenteraman awam semasa melakukan protes di London, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Wanita berusia 20 tahun itu yang ditahan berhampiran Hotel InterContinental di Mayfair di tengah London pada 17 Oktober ketika membuat bantahan semasa berlangsungnya Energy Intelligence Forum.

Thunberg akan dibicara di Mahkamah Majistret Westminster di London atas pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Ketenteraman Awam 1986, kerana gagal meninggalkan lebuh raya dan meneruskan bantahan.

Thunberg yang diikat jamin selepas didakwa, kemudiannya menyertai protes lain membabitkan iklim di London anjuran Fossil Free London – di luar JP Morgan di Canary Wharf pada 19 Oktober dan di luar Guildhall London pada Isnin.

Kumpulan itu membantah penggunaan berterusan bahan api fosil oleh syarikat minyak dan gas utama, manakala protes terbaru membabitkan kelulusan kerajaan UK untuk menggerudi medan minyak Rosebank.

Thunberg akan hadir bersama 10 aktivis lain yang kesemuanya didakwa atas kesalahan yang sama.

Aktivis Greenpeace dan Fosil Free London dijangka berdemonstrasi di luar mahkamah sebelum perbicaraan.

Thunberg dari Stockholm, Sweden, aktif menyertai kempen alam sekitar sejak berumur 15 tahun. Dia didenda oleh mahkamah Sweden pada Julai kerana menghentikan lalu lintas semasa protes alam sekitar di sebuah kemudahan minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 5:17 PM