GRETA Thunberg. FOTO EPA
GRETA Thunberg. FOTO EPA
AFP

New Delhi: India menyelar bintang pop Rihanna dan aktivis alam sekitar, Greta Thunberg kerana membuat komen sensasi di Twitter berkaitan protes golongan petani.

India juga mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap platform media sosial itu kerana tidak menurunkan komen berkaitan protes berkenaan.

Platform sosial media menjadi medan perang utama di India sejak puluhan ribu petani mengadakan tunjuk perasaan di pinggir ibu negara November tahun lalu sebagai protes kepada tindakan kerajaan mengubah dasar berkaitan pasaran hasil tani.

Rihanna, yang mempunyai lebih 100 juta pengikut di Twitter, menulis 'mengapa kita tidak bercakap mengenai perkara ini?', sambil menyertakan pautan berita berkaitan sekatan internet di kem protes berkenaan.

Ratusan ribu pengguna mengulang ciap hantaran itu.

Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg turut membuat hantaran di Twitter berkenaan sekatan internet di India dan berkata: "Kami berdiri dan bersolidariti dengan #FarmersProtest di India."

Ciapan dibuat selebriti ini mengundang rasa kurang senang di India.

Kementerian Luar India berkata, mereka ini (selebriti) tidak sepatutnya masuk campur urusan negara India dan perlukan 'kefahaman yang tepat berkaitan isu berkenaan'.

Aktres Bollywood, Kangana Ranaut, yang juga penyokong Perdana Menteri, Narendra Modi, menggelar petani yang menyertai protes itu sebagai 'pengganas' dan Rihanna dianggap 'bodoh'.

Modi berkata, undang-undang yang digubal itu adalah perlu untuk meningkatkan pendapatan petani luar bandar, namun mereka takut industri pertanian akan diambil alih syarikat gergasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 9:20 PM