POLIS mengawal lokasi demonstrasi itu yang diadakan di luar Parlimen Sweden. FOTO TT News Agency / AFP
POLIS mengawal lokasi demonstrasi itu yang diadakan di luar Parlimen Sweden. FOTO TT News Agency / AFP
AFP

Stockholm: Tidak habis-habis, dua lelaki sama sekali lagi membakar al-Quran sebagai protes bagi mengharamkan kitab suci umat Islam itu di luar bangunan Parlimen Sweden, semalam.

Tindakan Salwan Momika dan Salwan Najem yang memijak dan membakar al-Quran itu mencetuskan kemarahan umat Islam dan ketegangan Sweden dengan negara Islam.

Sebelum ini, mereka turut melakukan perbuatan sama di luar masjid Stockholm, Jun lalu

Kedua-duanya mengadakan protes sama di luar Kedutaan Iraq di Stockholm pada 20 Julai dengan memijak al-Quran.

Polis Sweden memberikan permit bagi membenarkan penunjuk perasaan berkenaan yang mahu melihat al-Quran diharamkan di negara itu.

Jurucakap Polis Stockholm, Mats Eriksson berkata, protes itu berlangsung tanpa sebarang gangguan ketenteraman awam yang serius.

"Saya mahu membantah di hadapan Parlimen Sweden dan menuntut supaya al-Quran diharamkan (di negara ini).

"Saya akan membakar al-Quran di sana," tulis Najem dalam permohonan itu, yang dilihat AFP.

Tinjauan mendapati, hanya Momika dan Najem satu-satunya peserta dengan sekumpulan kecil penunjuk perasaan berkumpul di luar kepungan polis, sama seperti protes sebelum ini.

Kira-kira belasan penunjuk perasaan memegang salinan al-Quran dengan beberapa mengibarkan bendera Iraq dan menjerit ke arah Momika yang sama seperti peristiwa sebelumnya.

Momika memakai cermin mata hitam dan tersengih sambil mengejek mereka.

Dalam protes itu, Momika turut memijak gambar ulama dan pemimpin politik Syiah, Moqtada Sadr yang pengikutnya menyerbu Kedutaan Sweden di Baghdad sebagai tindak balas terhadap kelakuan kumpulan itu sebelum ini.

Sementara itu, Perdana Menteri dan Presiden Iraq mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mencemarkan nama baik al-Quran itu.

Mereka menyeru negara di mana serangan berlaku untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan menamatkan amalan jenayah ini.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan juga menyatakan kemarahannya terhadap pembakaran al-Quran.

Hubungan diplomatik Sweden dengan negara Timur Tengah tegang berikutan protes mencemarkan al-Quran dilakukan sebelum ini.

Polis Sweden sebelum ini menegaskan mereka hanya memberikan permit untuk orang ramai mengadakan perhimpunan awam dan bukan untuk aktiviti yang dijalankan semasa acara itu.

Kedua-dua protes sebelum ini membawa kepada kemarahan dan kecaman meluas.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam bersidang untuk menangani isu al-Quran dinodai dan menyuarakan kekecewaan dengan tindak balas Sweden dan Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 12:26 PM