AKTIVIS perubahan iklim mencemarkan tomato puri pada karya Vincent Van Gogh, lukisan Sunflowers. FOTO Twitter Just Stop Oil
AKTIVIS perubahan iklim mencemarkan tomato puri pada karya Vincent Van Gogh, lukisan Sunflowers. FOTO Twitter Just Stop Oil
Agensi

London: Dua aktivis perubahan iklim, didakwa melakukan jenayah kerana merosakkan lukisan hasil karya terkenal Vincent Van Gogh, Sunflowers yang dipamerkan di Galeri Nasional.

Rakaman yang disiarkan kumpulan kempen Just Stop Oil menunjukkan aktivis wanita terbabit membuka tin tomato puri sebelum mencurahkannya ke atas karya yang dihasilkan di Arles, selatan Perancis pada tahun 1888 itu.

Mereka kemudian dilihat melutut dengan tangan ditekap dengan gam pada dinding bawah lukisan yang bernilai 72.5 juta pound sterling (RM380.83 juta) itu.

Jurucakap Galeri Nasional berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan kecil pada bingkai namun, imej lukisan itu yang dilitupi kaca tidak terjejas.

Polis berkata, dua wanita berusia 21 dan 20 tahun dibicarakan di Mahkamah Majistret Westminster pada Sabtu atas dakwaan jenayah kerosakan pada bingkai lukisan Sunflowers Van Gogh.

Seorang lagi aktivis juga akan dibicarakan di mahkamah atas dakwaan merosakkan papan tanda di luar ibu pejabat polis, New Scotland Yard, di tengah London.

Sunflowers ialah lukisan Van Gogh yang paling popular dan lukisan kedua menjadi sasaran kumpulan itu.

Sebelum ini, karyanya pada 1889 iaitu lukisan Peach Trees in Blossom yang dipamerkan di Galeri Courtauld, di sini, turut dicemari pada penghujung Jun lalu.

Karya itu juga adalah karya kedua dari Galeri Nasional yang dipilih sebagai sasaran tindakan protes kumpulan itu dengan dua penyokongnya merosakkan The Hay Wain karya John Constable, pada Julai lalu.

Aktivis juga menyasarkan lukisan landskap Horatio McCulloch, My Heart's In The Highlands, di Galeri Seni dan Muzium Kelvingrove Glasgow serta salinan kepada lukisan yang sudah berusia 500 tahun oleh Leonardo Da Vinci, Last Summer di Akademi Diraja London.

Just Stop Oil mengadakan bantahan sejak dua minggu lalu sebagai sebahagian daripada kempen gangguan berterusan yang turut menyaksikan penunjuk perasaan menyekat beberapa jalan utama di London.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 1:21 PM