AHLI Majlis Keselamatan PBB mengundi mengenai draf resolusi keahlian penuh Palestin. FOTO Reuters
AHLI Majlis Keselamatan PBB mengundi mengenai draf resolusi keahlian penuh Palestin. FOTO Reuters
Bernama-Anadolu

Washington: Amerika Syarikat (AS) memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis yang menuntut keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Anadolu (AA).

Seramai 15 ahli majlis berkumpul di New York bagi mengundi draf resolusi yang dikemukakan oleh Algeria yang mengesyorkan kemasukan Negara Palestin untuk menjadi ahli PBB.

Keahlian itu disekat dengan undian 12 menyokong dan dua berkecuali, termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland.

Sebelum pengundian, perwakilan Algeria ke PBB Amar Bendjama berkata sudah tiba masanya untuk Palestin mengambil tempat yang sepatutnya dalam kalangan masyarakat negara.

Katanya, mencari keahlian PBB adalah ekspresi asas bagi penentuan nasib Palestin.

"Hari ini, panggilan sejarah kedengaran sekali lagi. Dan adalah satu penghormatan bagi saya untuk mengemukakan kepada majlis cadangan untuk mengakui Negara Palestin sebagai anggota penuh PBB.

"Ia adalah langkah kritikal ke arah membetulkan ketidakadilan yang sudah lama wujud," kata Bendjama, menggesa setiap ahli untuk menyokong resolusi itu.

Palestin sudah diterima sebagai negara pemerhati Perhimpunan Agung PBB pada 2012, membenarkan utusannya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan dan organisasi PBB tetapi tanpa undi.

Negara-negara diterima menjadi ahli PBB melalui keputusan Perhimpunan Agung atas cadangan Majlis Keselamatan, menurut Piagam PBB.

Resolusi majlis memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh ahli tetap, iaitu AS, Britain, Perancis, Rusia atau China, untuk diluluskan.

Permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat susulan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan 7 Oktober tahun lalu yang membunuh hampir 34,000 rakyat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 9:59 AM