GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

London: Seorang lelaki Mesir didakwa di Mahkamah Majistret London Barat pada Sabtu atas tuduhan mendalangi penyeludupan pendatang haram merentasi Mediterranean dari Afrika Utara ke Eropah, kata polis Britain.

Terdahulu, pegawai Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom (UK) menahan suspek, Ahmed Ramadan Mohamad Eibd, 40, berhampiran rumahnya di barat London pada Rabu, lapor Arab News.

Tangkapan itu dilakukan selepas siasatan antarabangsa yang turut membabitkan pendakwa raya, pengawal pantai dan penyiasat jenayah kewangan Itali.

Mahkamah memerintahkan Ahmed Ramadan ditahan dalam sel tahanan sehingga pendakwaan disambung di Mahkamah Mahkota Southwark di selatan London pada 24 Julai.

Dia disyaki sebagai dalang utama dengan beroperasi menggunakan sistem komunikasi dari rumahnya di UK untuk mendalangi penyeludupan ribuan pendatang merentasi Mediterranean dari Libya ke Itali.

NCA mendakwa Ahmed Ramadan berhubung rangkaian penyeludupan orang di utara Afrika dengan mengatur bot untuk membawa ratusan pendatang pada satu masa, dan mengekalkan komunikasi dengan rakan jenayah semasa penyeludupan.

Beberapa rekod membawa kepada operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa Itali, kata agensi polis UK yang menyifatkan bot-bot ditemukan itu umpama perangkap maut.

"Penyeludupan orang adalah masalah antarabangsa dan menanganinya pada setiap langkah laluan adalah keutamaan bagi NCA," kata Darren Barr, pegawai penyiasat kanan di NCA.

"Jenis bot yang digunakan kumpulan jenayah terancang untuk menyeberangi lautan adalah perangkap maut, dan malangnya ramai maut selepas insiden di Mediterranean, yang menunjukkan ia sangat bahaya.

"Kami akan terus berkongsi maklumat risikan dan mengambil tindakan dengan rakan kongsi untuk menghalang penyeludupan, menangkap penyeludup orang di sini dan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 3:36 PM