PUTERA Harry di luar bangunan Mahkamah Tinggi di London, semalam. FOTO Reuters.
PUTERA Harry di luar bangunan Mahkamah Tinggi di London, semalam. FOTO Reuters.
Reuters

London: Putera Harry melancarkan serangan ke atas media 'keji', dengan menyalahkan tabloid berkenaan kerana memusnahkan zaman remajanya dan kemudian hubungannya, ketika memberi keterangan hampir lima jam dalam tuntutannya terhadap penerbit tabloid, semalam.

Menjadi ahli keluarga diraja kanan Britain yang pertama berada di kandang saksi di mahkamah lebih satu abad, Harry juga berkata, memikirkan tindakan individu melanggar undang-undang dengan menceroboh kehidupan peribadi mendiang ibunya, Puteri Diana cukup membuatkan dia "berasa sakit".

Putera raja itu yang dalam barisan kelima takhta dan 100 yang lain menyaman akhbar Kumpulan Mirror (MGN), penerbit bagi Daily Mirror, Sunday Mirror dan Sunday People di Mahkamah Tinggi di London atas dakwaan penyebaran maklumat yang menyalahi undang-undang antara 1991 dan 2011.

Dalam keterangan bertulis setebal 50 muka surat dan pemeriksaan balas peguam MGN, Andrew Green, anak bongsu Raja Charles itu berkata, beliau sudah menjadi sasaran sejak 1996 ketika masih bersekolah.

"Saya berhadapan permusuhan dengan media sejak saya dilahirkan," katanya.

Harry berkata, akhbar cuba merosakkan hubungannya dengan teman wanita, menyalahkan mereka atas perpisahannya dengan Chelsy Davy, penyebab lingkungan rakannya mengecil dan bagi serangan paranoia dan kemurungan.

Menurutnya, beliau dilabel sebagai "putera playboy", "tidak bijak", "gagal" dan "tercicir".

"Mengimbas kembali perkara itu sekarang, tindakan sebegitu di pihak mereka amatlah keji," tulisnya, sambil berkata tabloid berkenaan mencetuskan "kebencian dan gangguan" ke dalam kehidupan peribadi beliau dan isterinya, Meghan.

Di bahagian lain katanya, "berapa banyak darah lagi akan mengotorkan jari mereka yang menaip sebelum seseorang dapat menghentikan kegilaan ini?"

Ditanya kepada siapa dia merujuk, katanya "sebahagian editor dan wartawan yang bertanggungjawab terhadap semua kesakitan, kesedihan dan dalam beberapa kes - mungkin secara tidak sengaja - kematian."

Pada sesi itu, Green memulakan soalannya dengan penuh hormat, dan secara peribadi meminta maaf kepada Harry bagi pihak MGN terhadap satu kejadian yang mana dia mengakui berlaku pengumpulan maklumat yang menyalahi undang-undang, dengan mengatakan "ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan berlaku lagi".

Peguam itu kemudiannya secara forensik dan menekan Harry dengan soalan-soalan berkait 33 artikel surat khabar, yang butirannya didakwa Harry diperoleh secara tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:23 PM