FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Geneva: Sebuah pesawat pelancong terhempas di kawasan perhutanan dan pergunungan di barat Switzerland dan tiga individu dilaporkan terbunuh, hari ini.

Pesawat yang membawa pelancong dalam jumlah kecil itu terhempas di kawasan curam dan berhutan berhampiran Ponts-De-Martel di Neuchatel Switzerland sekitar jam 10.20 pagi (waktu tempatan).

"Juruterbang dan dua penumpang maut di lokasi," kata polis Neuchatel dalam satu kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut mengenai mangsa.

Pesawat itu didaftarkan di Switzerland dan berlepas dari lapangan terbang Chaux-d-Fonds membawa pelancong ke kawasan berhampiran untuk bersiar-siar.

Kata polis, operasi menyelamat dilancarkan dan tapak nahas di Pergunungan Neuchatel berada di kawasan yang sangat curam sehingga menyukarkan kerja.

Punca nahas masih tidak jelas, kata kenyataan itu, sambil menambah pihak berkuasa melancarkan siasatan untuk menentukan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 3:57 PM