PASUKAN penyelamat mengusung kanak-kanak berkenaan. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat mengusung kanak-kanak berkenaan. FOTO AFP
AFP

KANAK-KANAK berusia 12 tahun menjadi satu-satunya penumpang yang terselamat dalam nahas di kawasan pergunungan di timur Indonesia semalam, kata pihak berkuasa.

Ketika kejadian, pesawat Pilatus buatan Switzerland yang mengikut jadual hanya mengambil masa 40 minit saja untuk tiba ke lokasi sekitar wilayah pedalaman Papua dikatakan terputus hubungan dengan pengawal trafik udara semalam.

Bangkai pesawat itu ditemui di kawasan hutan tebal berhampiran lereng gunung di daerah Oksibil pagi tadi.

“Lapan mayat ditemui dan hanya seorang terselamat,” kata jurucakap tentera Papua, Leftenan Kolonel Dax Sianturi.

“Setakat ini punca nahas belum disahkan dan siasatan akan dijalankan oleh jawatankuasa keselamatan pengangkutan negara,” katanya kepada AFP.

Pesawat milik syarikat Dimonim Air itu membawa tujuh penumpang dan dua anak kapal.

Pasukan mencari dan menyelamat terpaksa berjalan dua jam untuk sampai ke lokasi nahas dan menemui mayat sehingga awal pagi tadi.

Indonesia sangat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan beribu-ribu pulaunya tetapi mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang buruk.

Julai lalu, lima orang terkorban selepas sebuah pesawat kecil terhempas di Wamena dekat wilayah Papua.

Pada Ogos 2015, sebuah pesawat penumpang komersial yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan negara Indonesia Trigana terhempas di Papua akibat cuaca buruk, membunuh semua 54 penumpangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:25 PM