WARIS penumpang pesawat Metrojet yang terhempas menunggu maklumat mengenai tragedi itu di lapangan terbang St Petersburg.
WARIS penumpang pesawat Metrojet yang terhempas menunggu maklumat mengenai tragedi itu di lapangan terbang St Petersburg.
Agensi

Kaherah: Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Kogalymavia atau lebih dikenali sebagai Metrojet dari Russia yang membawa 224 penumpang terhempas di satu kawasan pergunungan di semenanjung Sinai, Mesir semalam.

Pesawat yang membawa 217 penumpang termasuk 17 kanak-kanak dan tujuh anak kapal itu dalam penerbangan dari Sharm el-Sheikh di Sinai, Mesir menuju ke St. Petersburg, Russia.

Sharm el-Sheikh adalah destinasi pelancongan yang popular di kalangan pelancong Russia.

Kementerian Penerbangan Mesir dalam satu kenyataan memberitahu, pesawat jenis Airbus A-321 itu dilaporkan berlepas pada pukul 5.51 pagi waktu tempatan (11.51 pagi waktu Malaysia) sebelum hilang dari radar 23 minit kemudian.

Selepas operasi mencari dan menyelamat tergendala akibat cuaca buruk, pesawat itu ditemui terhempas di satu kawasan pergunungan terpencil di Hassana, kira-kira 35 kilometer dari selatan Al Arish di Sinai.

Juruterbang pesawat itu dilaporkan menghubungi menara kawalan untuk mendarat di lapangan terdekat kerana mengalami masalah teknikal sebelum terputus hubungan.

Seorang pegawai yang tiba di lokasi nahas memberitahu Reuters melalui telefon, anggota penyelamat mendengar suara penumpang di dalam bahagian pesawat yang terputus dua.

“Keadaan di sini sangat tragik. Kami melihat banyak mayat bergelimpangan di tanah dan ada yang masih terikat di tempat duduk.

“Pesawat ini terputus dua. Satu bahagian kecil ekor terbakar manakala satu bahagian besar pesawat terhempas pada batu.

“Kami berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 100 mayat dan baki mangsa yang lain masih terperangkap,” katanya.

“Pesawat itu musnah sepenuhnya dan kemungkinan semuanya penumpang maut,” kata seorang pegawai keselamatan Mesir di lokasi kejadian yang memberitahu wartawan Reuters melalui telefon.

Ujarnya, beberapa ambulans kini sudah tiba berhampiran lokasi nahas untuk membawa keluar mayat atau mangsa yang terselamat.

Menurutnya, jumlah mangsa yang terkorban belum dapat dipastikan lagi.

Sumber keselamatan Mesir memberitahu, tiada petanda pesawat berkenaan ditembak jatuh atau meletup di udara.

Sinai turut menempatkan kumpulan militan yang menyokong Negara Islam dan membunuh beratus-ratus askar Mesir sejak beberapa tahun lalu.

Pesawat berkenaan dilaporkan berada pada ketinggian 31,000 kaki sebelum hilang dari radar.

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan pasukan penyelamat dan penyiasat negara itu ke lokasi nahas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:07 AM