ORANG ramai berjalan di Westminster, London. UK akan menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka di kedai dan pengangkutan awam susulan penularan varian Omicron. FOTO EPA
ORANG ramai berjalan di Westminster, London. UK akan menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka di kedai dan pengangkutan awam susulan penularan varian Omicron. FOTO EPA
AFP

London: Semua orang dewasa di United Kingdom (UK) kini layak menerima suntikan penggalak ketika kebimbangan mengenai penyebaran varian Omicron.

Langkah itu yang disokong badan penasihat saintifik dan Setiausaha Kesihatan Sajid Javid, dibuat ketika kerajaan berusaha untuk mencari penyelesaian segera terhadap varian baharu itu, lapor AFP.

Sehingga kini, hanya orang dewasa di United Kingdom berumur 40 tahun ke atas layak menerima dos penggalak enam bulan selepas dos terakhir mereka.

Tetapi jangka masa itu akan dikurangkan kepada tiga bulan, selain pengembangan program kepada penduduk yang berumur lebih daripada 18 tahun dengan keutamaan diberikan kepada yang lebih tua.

"Langkah-langkah ini akan melindungi lebih ramai orang, lebih cepat dan menjadikan kita lebih dilindungi sebagai sebuah negara," kata Javid kepada ahli Parlimen.

Beliau berkata, ia adalah satu langkah besar untuk skim vaksinasi Britain, yang dilancarkan Disember lalu yang menggandakan jumlah penerima untuk dos penggalak.

"Dalam perlumbaan antara vaksin dan virus ini, varian baharu mungkin memberi masalah baru.

"Jadi strategi kami adalah untuk mengambil masa dan mengukuhkan pertahanan kami," katanya.

UK dilanda pandemik yang teruk dengan hampir 145,000 kematian dan menjadi salah sebuah negara yang mengumumkan kes varian baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 10:09 AM