GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

London: United Kingdom menawarkan suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 kepada setengah juta orang yang mempunyai imun badan yang lemah.

Menteri Kesihatan, Sajid Javid berkata, suntikan berkenaan akan dilaksanakan perkhidmatan kesihatan negeri kepada mereka yang mungkin kurang mendapat perlindungan daripada dua dos suntikan sebelum ini.

Katanya, suntikan dos ketiga yang menjadi pilihan ialah vaksin Messenger Asid Ribonukleik (mRNA), bukan suntikan AstraZeneca.

Javid mengumumkan pelaksanaan program itu selepas badan penasihat kerajaan, Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) mengesyorkan dos ketiga bagi mereka berusia lebih 12 tahun yang mempunyai keadaan kesihatan seperti leukemia, HIV serius atau pemindahan organ.

Pengumuman itu dibuat ketika kerajaan UK mempertimbangkan sama ada mahu mengikuti beberapa negara lain dalam melaksanakan suntikan penggalak kepada penduduk secara keseluruhan.

Javid berkata, suntikan dos ketiga itu tidak sama dengan suntikan dos penggalak.

Katanya, kerajaan masih meneruskan rancangan untuk melaksanakan program suntikan penggalak dengan mengutamakan mereka yang layak terutamanya yang berisiko tinggi bermula September ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 9:29 AM