IKLAN kesedaran untuk mendapatkan suntikan vaksin di London. FOTO EPA
IKLAN kesedaran untuk mendapatkan suntikan vaksin di London. FOTO EPA
AFP

London: United Kingdom (UK) menempah tambahan 114 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat gergasi farmaseutikal, Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk meningkatkan tahap vaksinasi mereka dalam tempoh dua tahun akan datang.

Tempahan 60 juta dos tambahan vaksin Moderna dan 54 juta lagi suntikan Pfizer-BioNTech muncul ketika Britain mengembangkan program pemberian dos penggalaknya berikutan kemunculan varian Omicron.

Negara itu menetapkan sasaran dua bulan untuk memberikan dos ketiga kepada semua orang dewasa berumur lebih 18 tahun.

"Perjanjian baharu ini akan membuktikan pada masa depan usaha vaksinasi Great Britain yang setakat ini memberikan lebih 115 juta vaksinasi pertama, kedua dan penggalak di seluruh UK," kata Setiausaha Kesihatan Sajid Javid dalam satu kenyataan.

"Ini adalah misi nasional dan senjata terbaik kita untuk menangani virus ini," katanya.

Mengumumkan perkara itu, Kementerian Kesihatan berkata, UK tetap komited untuk menderma 100 juta dos kepada negara yang memerlukan menjelang pertengahan 2022.

Ia menyatakan UK akan menderma lebih daripada 30 juta menjelang akhir tahun ini, dan mengumumkan rancangan untuk menderma berjumlah 70 juta dos setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 9:23 AM