MARED Foulkes
MARED Foulkes
Agensi

London: Seorang penuntut membunuh diri selepas diberitahu dia gagal dalam peperiksaan sedangkan dia sebenarnya sudah lulus ujian pengambilan semula itu serta dapat mengikuti pengajian tahun ketiganya.

BBC melaporkan Mared Foulkes, 21, dari Menai Bridge, Anglesey, penuntut jurusan farmasi di Universiti Cardiff sebenarnya sudah lulus ujian semula penilaian.

Tetapi e-mel keputusannya pada 8 Julai tahun lalu tidak termasuk ujian semula penilaiannya itu.

Dalam inkues Caernarfon, ibunya berkata, kekurangan bantuan daripada universiti membawa kepada kematian anaknya.

Pada petang selepas dia menerima e-mel, dia memandu ke sebuah jambatan di utara Wales, di mana mayatnya ditemui dipercayai membunuh diri.

Koroner Katie Sutherland berkata, sistem keputusan peperiksaan Universiti Cardiff mungkin mengelirukan.

Dia akan menulis surat kepada universiti itu untuk meminta mereka membuat penambahbaikan segera dan juga sama ada penuntut boleh menerima lebih banyak sokongan daripada tutor peribadi mereka.

Selepas inkues, ibu bapa mangsa iaitu Iona dan Glyngwn Foulkes berkata, mereka tidak pernah membayangkan mereka akan hidup lebih lama daripada anak perempuan mereka.

"Kami ditinggalkan dengan kenangan dalam album dan segala kebaikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 6:01 AM