KHADIM yang menyamar sebagai wanita untuk menjalani peperiksaan di sebuah sekolah menengah di Senegal. FOTO Agensi
KHADIM yang menyamar sebagai wanita untuk menjalani peperiksaan di sebuah sekolah menengah di Senegal. FOTO Agensi
Agensi

Dakar: Seorang lelaki sanggup melakukan apa saja demi cinta terhadap teman wanitanya termasuk dengan menyamar sebagai wanita untuk menduduki peperiksaan.

Oddity Central melaporkan, Khadim Mboup, 22, penuntut Universiti Gaston Berger de Saint-Louis, Diourbel di Senegal memperbodohkan fakulti dan penyelia di dewan peperiksaan Baccalaureate (peperiksaan lulus sekolah tinggi) dengan menyamar sebagai pelajar perempuan sekolah menengah itu selama tiga hari.

Mboup mengenakan rambut palsu panjang yang sebahagian ditutup selendang tradisional, anting-anting, gaun, bra dan juga solekan wajah untuk menjadi kekasihnya, Gangué Dioum yang berusia 19 tahun.

Pada hari kedua dia menyamar sebagai kekasihnya, seorang pengawas peperiksaan mula menyedari sesuatu yang ganjil mengenai Khadim dan identiti sebenarnya.

Pada 31 Julai, polis dipanggil ke dewan pemeriksaan dan Mboup didakwa melakukan penipuan.

Dia membawa pihak berkuasa kepada kekasihnya yang menunggunya dengan tenang di sebuah bilik di motel disewanya dan pasangan itu ditangkap.

Mboup mengaku kesalahannya, tetapi mendakwa dia bertindak semata-mata kerana cinta kepada Gangué.

"Saya bertindak kerana cinta, teman wanita saya mengalami kesukaran menguasai bahasa Inggeris," kata penuntut universiti itu tetapi gagal mempengaruhi pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 6:45 AM