Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA. FOTO FB UITM
Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA. FOTO FB UITM
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Saya hanya penuntut biasa, tidak pernah dapat markah yang tinggi baik di dalam kelas atau fakulti dan keputusan peperiksaan ini sememangnya mengejutkan.

"Ketika menerima e-mel ucapan tahniah daripada ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun), memang rasa macam mimpi malah saya meminta kawan saya untuk turut membaca kerana bimbang saya salah faham."

Demikian perkongsian Fatin Najwa Azman, 22, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menduduki tempat pertama di negara dan kesembilan di seluruh dunia dalam peperiksaan Audit & Assurance (AA) kelolaan ACCA.

Tatkala menerima e-mel berkenaan, Fatin Najwa mengakui hanya membaca separuh saja kandungannya dan menyangka bahawa e-mel itu dihantar kepada semua individu yang menduduki peperiksaan berkenaan.

"E-mel berkenaan menyatakan ucapan tahniah. Saya sangkakan ia dihantar untuk semua orang dan beberapa minit kemudian, saya semak semula dengan membaca keseluruhan e-mel berkenaan.

"Pada mulanya saya terkejut kerana menduduki tempat pertama di dalam negara, jadi saya minta kawan saya untuk baca kerana bimbang saya salah faham.

"Kawan saya menjelaskan bahawa memang saya mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan di seluruh dunia," katanya kepada Harian Metro.

Fatin Najwa yang juga anak kedua daripada tiga beradik tidak dapat menahan rasa terkejutnya kerana tidak pernah mendapat markah yang tinggi sebelum ini.

"Ia memang satu kejutan untuk saya. Saya bukan penuntut yang setiap kali peperiksaan mencatatkan markah tinggi atau penuntut pandai, saya hanya penuntut biasa.

"Namun, kejayaan ini membuktikan kepada saya sendiri bahawa penuntut biasa juga boleh berjaya dengan cemerlang jika mempunyai teknik dan pendekatan belajar yang baik," katanya.

Ditanya berkenaan kaedah yang digunakan untuk belajar, Fatin Najwa berkata, dia suka bertanya berkaitan setiap mata pelajaran untuk mengetahui topik mana yang perlu diberikan tumpuan.

Menurutnya, dia juga bertuah kerana dikelilingi rakan-rakan yang pandai dan jika berdepan dengan masalah di dalam topik tertentu, mereka akan membantunya.

"Kejayaan saya adalah gabungan daripada kepandaian kawan saya. Alhamdulillah, saya berjaya dan Insya-Allah akan menamatkan pengajian dan mungkin bekerja sebelum menyambung pengajian untuk tahap seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 1:00 PM