FOTO menunjukkan Zeynep Gunay sebelum permainan Kamizake itu bermula. FOTO Agensi
FOTO menunjukkan Zeynep Gunay sebelum permainan Kamizake itu bermula. FOTO Agensi
Agensi

Ankara: Seorang remaja perempuan Turki meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila tersedak muntah sendiri ketika menaiki permainan di taman hiburan.

New York Post melaporkan, kejadian aneh itu berlaku Isnin lalu apabila penuntut psikologi, Zeynep Gunay pergi ke Hayrola Luna Park di Istanbul untuk bersantai sementara menunggu keputusan peperiksaan.

Imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja berusia berusia 19 tahun yang bertudung kelabu dan memakai pelitup muka itu menunggu permainan Kamikaze bermula.

Pengalaman Gunay berubah menjadi tragedi apabila dilaporkan muntah dan tidak sedarkan diri selepas permainan itu bergerak.

Selepas menyedari keadaan anak perempuan mereka, ibu bapanya yang panik memohon kepada pekerja taman menghentikan permainan itu, tetapi ia tidak dipedulikan.

Ketika hayunan terakhir berhenti, dia ditemui tidak sedarkan diri apabila pengendali dilaporkan mengatakan remaja itu harus 'ditampar dua atau tiga kali' untuk menyedarkannya.

Bapa saudara Gunay, Fatih Gunay, mendakwa keluarganya menelefon ambulans dengan mengatakan pekerja taman itu tidak mempedulikan mereka.

Wanita muda itu dikejarkan ke hospital, bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Lebih menyedihkan, Gunay memperoleh markah cemerlang dalam peperiksaan yang melayakkannya diterima dalam kursus universiti yang diimpikan.

Fatih menyatakan kematian anak saudaranya akibat kelalaian dan berjanji keluarganya akan melakukan apa sahaja demi menegakkan keadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:30 AM