GAMBAR kenangan Zainal Abidin bersama Yusof Al-Baihakki yang meninggal dunia akibat tersedak susu, hari ini. FOTO Mohd Hilmie Hussin
GAMBAR kenangan Zainal Abidin bersama Yusof Al-Baihakki yang meninggal dunia akibat tersedak susu, hari ini. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin dan Nur Saliawati Salberi


“WALAUPUN masih terkejut, namun saya reda dengan pemergiannya (anak). Kami menantinya kira-kira tujuh tahun selepas anak pertama, namun hari ini saya dan isteri berdepan situasi ini.”

Begitu kata Zainal Abidin Deraman, 34, apabila anak lelaki bongsunya Yusof Al-Baihakki, empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), Bukit Baru, Melaka, hari ini.

Difahamkan, kejadian itu hanya disedari guru TASKA terbabit jam 11.45 pagi hari ini selepas mendapati muka bayi berkenaan bertukar kebiruan.

Zainal Abidin berkata, ketika dihantar ke TASKA itu pada jam 7.30 pagi, anaknya berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, anaknya baru dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak Isnin lalu selepas isterinya Roslina Ismail, 34, kembali bertugas sebagai guru selepas habis berpantang.

“Apabila isteri kembali bertugas, anak dijaga selama dua minggu oleh ibu mentua dan pada minggu lalu, baru kami menghantarnya ke TASKA.

“Tidak sangka kejadian ini akan terjadi kepada saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka.

Zainal Abidin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata, jenazah anaknya dijangka akan dikebumikan di Kelantan selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Melaka, jam 12.30 tengah hari.

“Laporan itu menyatakan pihak hospital menerima seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12.05 tengah hari.

“Selepas memberikan rawatan kira-kira 30 minit, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Difahamkan, bayi itu diberi minum susu dibekalkan ibunya jam 8.50 pagi dan pihak TASKA mendakwa bayi berkenaan disendawakan sebelum tidur.

Bagaimanapun, pengasuh dikatakan memeriksa bayi itu jam 11.45 pagi, namun mangsa tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 7:58 PM