ASHTON tidak boleh terbau makanan dan enggan makan sembarangan kerana bimbang muntah. FOTO Caters News
ASHTON tidak boleh terbau makanan dan enggan makan sembarangan kerana bimbang muntah. FOTO Caters News
Agensi

London: Kedengaran pelik, tetapi itu yang berlaku kepada kanak-kanak dari Norfolk, United Kingdom (UK) yang hanya makan roti putih daripada jenama tertentu dan yogurt saja sejak lebih sedekad lalu.

Oddity Central melaporkan ia kerana Ashton Fisher, 12, disahkan menghidap fobia makanan.

Sejak berumur dua tahun, Ashton menunjukkan tabiat pelik apabila ibu bapanya cuma memberi makanan selain roti putih Warburtons, strawberi dan yogurt pisang Munch Bunch.

Biarpun tiada yang tahu alasan Ashton fobia dengan makanan, ibunya, Cara pada mulanya yakin ia disebabkan masalah refluks yang sering terjadi pada bayi.

"Kami sangat bimbang dengan keadaannya kerana gagal dapat nutrien diperlukan dan secara fizikalnya tidak boleh makan makanan lain kerana kemungkinan boleh diserang panik," kata Cara kepada Caters News.

Difahamkan, keluarga itu tidak pernah mengadakan makan malam sempena sambutan Hari Natal.

Ia kerana Ashton tidak boleh terbau makanan dan fobia menyebabkannya enggan makan sembarangan termasuk hidangan di sekolah atau parti

"Sehingga kini, Ashton dalam keadaan baik kerana tidak tahu apa kelainannya.

"Bagaimanapun, rakan Ashton menyedari dia tidak makan menyebabkan dia hairan kerana enggan menjadi lain daripada orang lain," kata Cara.

Setiap kali ibu bapa Ashton membawanya bertemu doktor, kanak-kanak itu sering disalah erti sebagai seorang yang cerewet dengan makanan dan ia mendorong mereka merujuknya ke pakar diet.

Tindakan itu bagaimanapun sia-sia kerana Ashton tetap tidak berubah dan tidak tahu bagaimana boleh menambah sesuatu dalam diet pemakanan anak mereka.

Bulan lalu, Cara dan suami membawa Ashton berjumpa pakar gangguan makan selektif, Felix Economakis yang mengesahkan apa berlaku disebabkan Gangguan Pengambilan Makanan (ARFID).

Berbekalkan pengalaman, pakar itu dapat meyakinkan Ashton untuk mencuba makanan baru walaupun tidak sihat.

Kini bukan hanya roti putih, tetapi Ashton juga bersedia makan beberapa sandwic selain mencuba makan empingan kentang dan nuget ayam.

"Masih awal, tetapi semua kelihatan baik kerana Felix memberikan keyakinan untuk mencuba perkara baru.

"Dia kini faham bahawa makanan itu tidak membuatnya muntah," kata Cara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 7:15 AM