JANGAN beri tekanan pada anak ketika makan. - FOTO Google
JANGAN beri tekanan pada anak ketika makan. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


SALAH satu tabiat pemakanan kanak-kanak yang membimbangkan ibu bapa adalah cerewet dalam memilih makanan.

Kanak-kanak yang memiliki sikap memilih makanan akan menolak sesuatu yang baik bagi tumbesaran mereka seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sikap memilih makanan itu menjadi lebih teruk apabila mengunjungi tempat makan yang baru sehinggakan mereka enggan menjamah satu sajian pun.

Perilaku itu dipanggil 'food neophobia' atau fobia terhadap makanan baru. Ia termasuk memperkenalkan makanan yang bukan kebiasaan bagi mereka atau di restoran atau kedai makan yang baru kali dikunjungi mereka.

Menariknya kajian pada 2007 mendapati fobia makanan baharu adalah sesuatu yang diwarisi atau genetik.

Malah, perilaku ibu bapa yang tidak suka mencuba sesuatu yang baharu sebenarnya boleh diwarisi anak mereka.

Dalam kajian lain juga menerangkan adalah normal pada usia kanak-kanak seawal dua hingga enam tahun memiliki tabiat cerewet terhadap makanan.

Ia dikatakan satu perlindungan naluri semula jadi (survival mechanism) mengelak kanak-kanak pada peringkat itu tidak terdedah kepada makanan beracun atau sumber yang tidak baik untuk kesihatan mereka.

Dalam faktor lain yang lebih rasional mengenai tindakan kanak-kanak bersikap lebih cerewet dengan pilihan makanan adalah kanak-kanak memiliki deria rasa lebih sensitif.

Di peringkat kanak-kanak, tunas rasa mereka lebih banyak berbanding dewasa menjadikan mereka begitu sensitif terhadap sebarang rasa.

Berdasarkan hal itu, ibu bapa seharusnya lebih bijaksana mengendalikan emosi mereka ketika memujuk anak masing-masing makan.

Berikut antara langkah-langkah ibu bapa menangani kanak-kanak yang cerewet terhadap makanan:

DEDAHKAN anak dengan makanan atau tempat makan yang baharu. - FOTO Google
DEDAHKAN anak dengan makanan atau tempat makan yang baharu. - FOTO Google

TABIAT makanan juga diwarisi daripada ibu bapa. - FOTO Google
TABIAT makanan juga diwarisi daripada ibu bapa. - FOTO Google

1. Elak memaksa atau beri tekanan kepada anak ketika makan

Memarahi dan meninggikan suara ketika memberi anak makan makanan yang tidak disukai memberi efek lebih teruk mengenai pengalaman itu.

Malah, mereka akan menjadi lebih tantrum seawal beberapa detik sebelum waktu makan kerana menjangkakan ibu bapa akan memberi tekanan untuk menghabiskan makanan.

2. Memujuk dan gunakan pendekatan lebih kreatif

Cuba jadikan pengalaman makan itu seronok seperti bermain. Melekakan mereka dengan hiasan atau jadikan sajian dalam bentuk lebih menarik membuatkan kanak-kanak boleh toleransi dengan sajian terbabit.

3. Dorongan dan ganjaran

Lihat setiap kali waktu makan anak melakukan perubahan dan berusaha makan seberapa banyak sajian tidak digemari, puji mereka.

Jika ada perkembangan contohnya anak berjaya habiskan satu saiz hidangan, beri ganjaran.

4. Tunjuk teladan

Anak kerap melihat sikap ibu bapa dan meniru perlakuan orang dewasa. Ibu bapa juga boleh tunjukkan teladan terutama dalam pilihan makanan diambil mereka.

Ibu bapa itu sendiri perlu bersikap berani mencuba makanan baharu termasuk sesuatu yang bukan sajian harian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 6:43 AM