ANTARA babak dalam Nine Lives.
ANTARA babak dalam Nine Lives.
TOM Brand lakonan suara Kevin Spacey yang terperangkap dalam badan kucing.
TOM Brand lakonan suara Kevin Spacey yang terperangkap dalam badan kucing.
CHRISTOPHER Walken.
CHRISTOPHER Walken.
JENNIFER Garner bawa watak Lara Brand.
JENNIFER Garner bawa watak Lara Brand.
Syafil Syazwan Jefri

Tamparan hebat apabila karya terbaru Barry Sonnenfeld yang berjudul Nine Lives dikecam ramai pengkritik filem dunia malah majoriti hanya meletakkan purata 2.5 bintang selepas menontonnya.

Ditayangkan di pawagam Malaysia mulai hari ini, Nine Lives membariskan bintang hebat Hollywood antaranya Kevin Spacey (suara), Jennifer Garner, Christopher Walken, Robbie Amell, Malina Weissman dan Cheryl Hines.

Sonnenfeld berkata, pembabitan Spacey dalam filem arahannya adalah sesuatu di luar jangkaan.

“Dia benar-benar mahukan watak ini dan saya berikannya,” katanya.

Walaupun menerima kecaman hebat, Sonnenfeld tetap menegakkan filemnya dan menegaskan ia dihasilkan untuk peminat.

“Biar apa pun kritikan yang diberikan, Nine Lives dihasilkan untuk peminat sahaja!” katanya dalam satu temu bual.

Nine Lives mengisahkan Tom Brand, jutawan yang terlalu obses dengan impian mahu membina menara pencakar langit tertinggi di dunia sehingga mengabaikan keluarganya.

Tenggelam dalam kesibukannya, Brand hampir terlupa meraikan ulang tahun anaknya, Rebecca yang inginkan kucing sebagai hadiah.

Brand ke kedai misteri Felix yang menjual haiwan peliharaan. Felix yang boleh berkomunikasi dengan haiwan mencadangkan seekor kucing misteri dan berlaku satu insiden menyebabkan Brand pengsan.

Apabila tersedar, Brand terkejut dirinya terperangkap dalam tubuh kucing.

Sejak itu, dia dipelihara keluarganya dan dinamakan Mr Fuzzypants. Dia menjalani kehidupan sebagai kucing, makan dalam bekas makanan kucing, dibelai dan dimanjakan.

Brand tertekan dan berusaha untuk kembali menjadi manusia dengan melakukan pelbagai cara.

Tidak dinafikan naratif Nine Lives mampu menggeletek hati penonton tetapi ia dikritik hebat apabila kualiti skripnya mengecewakan selain perkembangan watak tidak seperti yang dijangkakan.

Ada juga yang menyifatkan jalan ceritanya klise dan boleh diagak. Mungkin mampu mencuri perhatian kanak-kanak tetapi karya ini gagal membeli jiwa pengkritik .

Daripada sasaran RM40 juta, filem ini hanya mampu mencatat kutipan RM24.8 juta sahaja sejak ditayangkan di Amerika Syarikat bermula 5 Ogos lalu.

Apa pun, bagi peminat filem komedi kekeluargaan yang ingin melihat sendiri karakter comel dan tidak dijangka Mr Fuzzypants, Nine Lives sudah ditayangkan di pawagam seluruh tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 11:36 AM