KANAK-KANAK kurang berat badan disarankan mengambil makanan utama dalam kategori paling bawah piramid pemakanan.
KANAK-KANAK kurang berat badan disarankan mengambil makanan utama dalam kategori paling bawah piramid pemakanan.
WONG menasihati ibu bapa agar sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan tumbesaran anak.
WONG menasihati ibu bapa agar sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan tumbesaran anak.
Hajahfarhana Tarmudi


Sesetengah kanak-kanak secara semula jadinya ada bertubuh besar, ada pula kecil. Jika bertubuh besar namun masih mampu mengekalkan berat badan dengan aktif melakukan aktiviti fizikal dan mengamalkan diet seimbang, ia sesuatu yang normal atau sihat.

Begitu juga dengan sesetengah kanak-kanak yang bertubuh kecil secara semula jadi bukan bermaksud mereka mengalami masalah kurang berat badan.

Setiap masalah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak ini pastinya membuatkan ibu bapa berasa bimbang. Oleh itu, penting untuk ibu bapa mengambil berat setiap perkembangan atau perubahan anak selain membawa si kecil menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti masalah yang dialami untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

Kebanyakan kanak-kanak membesar dan berat badan bertambah dengan cepat dalam beberapa tahun pertama kehidupan. Namun, dalam beberapa kes, kanak-kanak tidak memenuhi standard pertumbuhan yang diharapkan mengikut graf tumbesaran masing-masing.

Pertumbuhan lemah biasanya menggambarkan kanak-kanak yang berat semasa atau kadar pertambahan berat badan berada pada paras jauh di bawah berat badan sewajarnya berbanding rakan sebaya yang sama umur dan jantina.

Pakar Diet Pusat Perubatan Tropicana Wong Xue Yan berkata, secara umum, kanak-kanak yang gagal untuk membesar mengikut graf masing-masing tidak menerima atau tidak boleh mengambil, menyimpan atau menggunakan kalori dan zat makanan yang akan membantu mereka membesar serta menambahkan berat badan.

“Masalah ini perlu dikesan awal kerana tempoh zaman kanak-kanak satu masa penting dalam pembangunan fizikal dan mental. Pemakanan yang tidak sihat atau tidak mencukupi dalam tempoh ini mungkin mempunyai kesan pada perkembangan organ seperti otak, otot, mata dan organ lain,” katanya.

Antara kesan kekurangan berat badan

1.Pertumbuhan terganggu berbanding kanak-kanak yang sama umur dan jantina.

2.Perkembangan kognitif terjejas.

3.Kurang aktif, letih dan pucat.

4.Masalah berkaitan mata seperti rabun malam disebabkan kekurangan vitamin A.

5.Hujung mulut mereka disebabkan kekurangan vitamin B12.

6.Goiter kerana kekurangan iodin. Goiter ialah pembesaran kelenjar tiroid yang menyebabkan bengkak pada bahagian hadapan leher.

Awasi perkembangan si kecil

Perkara biasa jika kanak-kanak mengalami penurunan berat badan yang sedikit, namun jika turun selama beberapa bulan dan keluar daripada graf tumbesaran mereka, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan.

“Pertumbuhan kanak-kanak boleh diawasi dengan menimbang berat badan dan mengukur ketinggiannya serta membuat perbandingan dengan rujukan standard.

“Ini boleh dilakukan dengan memplot nilai berat badan dan ketinggian kanak-kanak pada carta berat badan serta ketinggian mengikut jantina.

“Ukuran kanak-kanak yang mencecah garisan bawah daripada graf memerlukan penilaian sempurna daripada pakar perunding kanak-kanak,” katanya.

Sejarah kesihatan kanak-kanak secara terperinci termasuk sejarah pemakanan dan diet anak diperlukan bagi memahami masalah si kecil.

Kekurangan berat badan bermaksud berat badan untuk umur, kurang daripada persentil ketiga dalam carta berat badan. Pertumbuhan terbantut pula bermaksud ketinggian untuk umur, kurang daripada persentil ketiga dalam carta ketinggian.

Terdapat beberapa faktor yang mungkin boleh menyebabkan masalah kekurangan berat badan dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya:

1.Tidak makan dengan cukup mengikut keperluan harian yang disarankan.

2.Memilih makanan.

3.Melakukan aktiviti fizikal yang berlebihan atau terlalu aktif.

4.Penyakit seperti jangkitan cacing.

5.Kerap sakit.

Bantu atasi masalah

Ibu bapa boleh melakukan beberapa perkara bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan untuk mencapai paras yang ideal.

Antara cara berkenaan:

1.Makan sikit tapi kerap. Enam hidangan disarankan kepada mereka iaitu tiga hidangan utama dan tiga snek sihat.

2.Makan mengikut waktu makan ditetapkan.

3.Kurangkan pengambilan ‘jajan’ atau makanan tidak berkhasiat.

4.Sediakan makanan yang tinggi kalori dan nutrien misalnya:

• Tambah minyak ke dalam bubur.

• Tambah susu atau yogurt ke dalam jus buah.

• Sapu mentega kacang atau keju atas roti dan biskut.

• Tambah minyak atau keju dalam pasta dan hidangan bersesuaian yang lain.

5.Menggalakkan makanan yang berada dalam aras terbawah piramid makanan iaitu sajian berkarbohidrat. Ini termasuklah nasi, mi, mihun, roti, biskut dan ubi-ubian ke dalam ketiga-tiga hidangan utama untuk menambah kalori makanan seharian.

6.Kurangkan pengambilan minuman sebelum makan.

7.Kurangkan pengambilan buah dan sayur berlebihan sebelum makan kerana serat akan memberi rasa kenyang kepada kanak-kanak.

8.Meningkatkan minat makan kanak-kanak dengan:

• Makan bersama ahli keluarga.

• Membeli dan menyediakan makanan bersama ahli keluarga.

• Jauhi kanak-kanak daripada televisyen pada waktu makan supaya mereka boleh fokus menghabiskan makanan yang diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 1:01 PM