KEADAAN di sebuah pasar di  Nong Chik, wilayah Pattani, Thailand selepas dibom. - Agensi
KEADAAN di sebuah pasar di Nong Chik, wilayah Pattani, Thailand selepas dibom. - Agensi
Agensi

PATTANI: Dua orang, termasuk budak lelaki 14 tahun terbunuh mankala 14 lagi cedera akibat letupan bom yang dipasang pada motosikal di sebuah pasar di Nong Chik, wilayah Pattani, Thailand, petang kelmarin.

Menurut jurucakap tentera di selatan Thailand, Kolonel Thanawee Suwannathat, ia dipercayai serangan membalas dendam selepas seorang pemimpin pemberontak ditembak mati sebelum ini.

“Budak lelaki 14 tahun dan wanita 35 tahun terbunuh dalam serangan itu. Empat renjer tentera juga cedera,” katanya.

Menurut Bangkok Post, budak lelaki itu dikenali sebagai Aiyadilfitli Yoko manakala wanita terbabit ialah Sareepa Ayohsae, 35, dari Betong.

Kesan letupan itu merosakkan kereta dan motosikal berhampiran.

AFP melaporkan, pada pagi hari serangan itu, pemimpin pemberontak yang diburu pihak berkuasa, ditembak mati di wilayah Yala oleh anggota keselamatan yang mengepung rumahnya.

Menurut Thanawee, suspek berusia 37 tahun dikenali sebagai Abdulloh Lateh adalah ketua operasi pemberontak.

Serangan kelmarin itu berlaku sehari selepas satu lagi serangan bom di wilayah Songkhla di satu pos pemeriksaan menyebabkan seorang anggota polis terbunuh manakala tiga lagi cedera.

Kira-kira 7,000 orang terbunuh dalam konflik di tiga wilayah di selatan Thailand, Yala, Pattani dan Narathiwat antara pemberontak Islam yang menuntut kuasa autonomi selepas wilayah terbabit menjadi sebahagian daripada Thailand satu abad lalu.

Beberapa rundingan damai sudah diadakan namun masih belum berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:38 AM