PENDUDUK memeriksa bangunan kediaman yang musnah selepas serangan Israel dekat kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza. FOTO  Reuters.
PENDUDUK memeriksa bangunan kediaman yang musnah selepas serangan Israel dekat kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza. FOTO Reuters.
Bernama-Wafa

Gaza: Angka korban serangan kejam tentera Israel ke atas Kem Pelarian Nuseirat yang terletak di tengah Gaza meningkat kepada kira-kira 210 orang dengan hampir 400 yang lain cedera, kebanyakannya orang awam, menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) yang memetik laporan perubatan.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan berkata kira-kira 210 penduduk, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh, dan 400 orang lagi cedera akibat pengeboman tentera Israel dari darat, udara dan laut ke atas kem itu. Serangan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini menyasarkan kawasan Gaza, terutamanya Kem Pelarian Nuseirat selama lebih dua jam.

Koresponden WAFA melaporkan kereta kebal tentera Israel melakukan serangan mendadak di kawasan timur dan barat laut, serentak dengan bedilan meriam ke atas kem itu secara meluas.

Kereta kebal Israel kemudian mara ke Jambatan Wadi Gaza di Jalan Salah al-Din di semenanjung itu, meluaskan serangan ketenteraan ke Kem Pelarian Al-Bureij dan Al-Maghazi, yang terletak berhampiran.

Secara serentak, dron-dron yang berada di atas ruang udara kem itu melepaskan tembakan terhadap mereka di jalan, mengakibatkan beratus nyawa terkorban dan cedera, katanya.

Sumber perubatan menunjukkan kru ambulans dan kecemasan menghadapi cabaran dalam memberikan respons kepada semua panggilan untuk membawa mereka yang cedera keluar daripada kawasan yang dibom.

Serangan udara Israel juga menyasarkan kawasan Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir al-Balah, dan lokasi lain di Kem Pelarian Al-Maghazi and Al-Bureij, selain daripada bandar Zawayda, semuanya terletak di tengah Gaza.

Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir al-Balah, satu-satunya kemudahan perubatan di wilayah itu berada dalam keadaan kritikal. Hospital itu bergelut dengan kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan api yang serius, diburukkan lagi dengan generator utama yang tidak beroperasi akibat pengeboman berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 1:32 PM