RAKYAT Palestin mengutip sisa barangan dari sekolah yang musnah di Kem Jabalia. FOTO AFP
RAKYAT Palestin mengutip sisa barangan dari sekolah yang musnah di Kem Jabalia. FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Bandaraya Gaza: Lebih daripada 120 mayat rakyat Palestin dijumpai daripada runtuhan, dua hari selepas tentera Israel meninggalkan Kem Jabalia di utara Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sumber perubatan di Hospital Kamal Adwan memberitahu Anadolu bahawa kru kecemasan dan pasukan pertahanan awam menjumpai lebih daripada 120 mayat rakyat Palestin dari jalan-jalan yang musnah dan di bawah runtuhan bangunan di Kem Jabalia, dengan kerja-kerja membersihkan sampah dan runtuhan masih diteruskan.

Pada Jumaat, tentera Israel mengisytiharkan tamatnya serangan mereka di kawasan Jabalia selepas 20 hari.

Di tengah-tengah dakwaan bahawa Tel Aviv menyembunyikan angka korban yang tepat, serangan itu juga telah meragut nyawa 10 askar Israel.

Hampir 36,400 rakyat Palestin maut di Gaza sejak Israel memulakan serangan hampir lapan bulan lalu.

Majoriti yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, dengan lebih daripada 82,400 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Sebahagian besar Gaza dalam keadaan musnah di tengah-tengah sekatan Israel yang menghalang bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan keputusan terbaharunya mengarahkan Tel Aviv untuk segera menghentikan operasi di Rafah, di mana lebih daripada satu juta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 9:32 PM