PENDUDUK Palestin menangisi kematian ahli keluarga mereka dalam serangan Israel ke atas Rafah, semalam. FOTO  Reuters.
PENDUDUK Palestin menangisi kematian ahli keluarga mereka dalam serangan Israel ke atas Rafah, semalam. FOTO Reuters.
Reuters

Baitulmaqdis: Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin dalam serangan udara di Rafah, selatan Gaza pada subuh Khamis dan beberapa pertempuran lain berlaku di semenanjung itu, kata pegawai perubatan Gaza.

Israel meneruskan serangannya ke atas Rafah sehari selepas mengatakan tenteranya sudah menguasai zon penampan di sepanjang sempadan berdekatan antara Semenanjung Gaza dan Mesir yang memberikannya kuasa ke atas seluruh sempadan darat Gaza.

Rejim itu berkata, penguasaan terhadap zon penampan akan memutuskan laluan digunakan pejuang Hamas untuk menyeludup senjata ke Gaza.

Sumber perubatan Gaza memaklumkan, 12 rakyat Palestin yang terkorban adalah orang awam, manakala sejumlah orang yang belum ditentukan lagi cedera, dengan serangan itu berlaku ketika usaha menyelamat mayat korban di tengah-tengah Rafah.

Seorang lagi orang awam Palestin terbunuh dalam serangan udara ke atas kem pelarian Al-Shati di barat Bandar Gaza di utara kawasan yang padat dengan penduduk, kata pegawai perubatan.

Israel melaporkan pertempuran di selatan, tengah dan utara Gaza tetapi tidak mengulas mengenai kematian yang dilaporkan di Rafah, yang menjadi tempat perlindungan ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Syarikat telekomunikasi Palestin, Jawa pula memberitahu perkhidmatan komunikasi terputus di Rafah.

Israel meneruskan serbuan ke atas Rafah walaupun diperintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa iaitu mahkamah tertinggi PBB supaya menghentikan serangan.

Sejak serangan di bandar itu bermula 6 Mei lalu, tentera Israel memberitahu sudah membunuh 300 lelaki bersenjata Palestin dalam misi yang digelar sebagai dorongan untuk menumpaskan pejuang Hamas dan menyelamatkan tebusan.

Dalam panggilan telefon dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant menggariskan kepentingan berterusan operasi Israel di kawasan Rafah "disebabkan maklumat konkrit mengenai tebusan yang ditahan di sana".

"Menteri Gallant memperincikan aktiviti IDF di kawasan Rafah di mana 20 terowong pengganas telah dikenal pasti," kata Kementerian Pertahanan Israel.

Tentera Israel juga berkata bahawa terowong bawah tanah yang digunakan oleh Hamas untuk menyeludup dan menggerakkan pejuang ditemui ketika serbuan terbaharu, serta sejumlah besar senjata dan bahan letupan.

Kenyataan Israel tidak menyatakan ke mana arah terowong penyeludupan itu, namun seorang pegawai Israel berkata pada 15 Mei, terdapat 50 terowong yang menghubungkan Rafah ke Sinai di Mesir, dan menyuarakan kebimbangan bahawa Hamas boleh menggunakannya untuk menyeludup anggota operasi kanan atau tebusan ke wilayah Mesir.

Mesir pada Rabu menafikan kewujudan mana-mana terowong sedemikian.

Lebih 36,000 rakyat Palestin terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel di seluruh Gaza sejak Oktober tahun lalu, dengan 53 orang maut dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 10:18 AM