KENDERAAN pengangkut milik tentera Israel dilihat di sempadan antara negara itu dan Gaza. FOTO Reuters
KENDERAAN pengangkut milik tentera Israel dilihat di sempadan antara negara itu dan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Tentera Israel pada Rabu mengambil alih kawalan ke atas koridor penting Gaza-Mesir yang disyaki membantu penyeludupan senjata dan pada masa sama meningkatkan serangan terhadap Hamas di bandar sempadan Rafah.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan bermesyuarat untuk hari kedua susulan serangan hujung minggu lalu di kem pelarian penduduk Palestin, yang menurut pegawai Gaza, membunuh 45 orang dan mencederakan kira-kira 250 individu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres adalah antara ramai pemimpin yang menuntut bahawa keganasan itu dihentikan.

Dalam pada itu, Penasihat Keselamatan Negara Israel, Tzachi Hanegbi berkata, perang itu boleh berterusan sehingga akhir tahun.

"Kami mungkin mempunyai tujuh bulan lagi untuk berjuang menyatukan kejayaan kami dan mencapai apa yang kami definisikan sebagai pemusnahan kuasa serta keupayaan ketenteraan Hamas," kata Hanegbi.

Seorang pegawai tentera Israel kemudian memberitahu pemberita bahawa tentera mengambil kawalan operasi koridor Philadelphi, kawasan strategik sepanjang 14 kilometer (km) di sepanjang sempadan Gaza-Mesir.

Koridor itu berfungsi sebagai zon penampan antara Gaza dan Mesir, tetapi sejak Israel berundur dari Gaza pada 2005, terdapat kebimbangan ia digunakan untuk menyalurkan senjata kepada kumpulan bersenjata di wilayah Palestin.

Rampasan berlaku beberapa minggu selepas tentera Israel mengambil bahagian Palestin di sempadan Rafah yang melintasi Mesir. Rejim itu mendakwa pejuang menggunakan terowong rentas sempadan sebagai tempat perlindungan ketika serangan Israel di Rafah.

"Israel menggunakan dakwaan ini untuk meneruskan operasi di bandar Rafah di Palestin dan memanjangkan perang untuk tujuan politik," kata sumber peringkat tinggi Mesir yang dipetik oleh Al-Qahera News yang berkaitan dengan kerajaan.

Di Rafah yang terkepung, saksi melaporkan pertempuran meningkat dengan helikopter meningkatkan serangan, disokong oleh meriam dan bom tangan asap.

Sayap tentera Hamas berkata, ia menembak roket ke arah tentera Israel.

Rakaman AFPTV menunjukkan rakyat Palestin dengan perut berdarah dan anggota badan berbalut selepas cedera dalam serangan berhampiran Khan Yunis, berhampiran dengan Rafah, dibawa ke Hospital Eropah.

"Roket itu jatuh terus ke atas kami. Saya tercampak sejauh tiga meter… saya tidak tahu bagaimana saya berjaya bangun," kata seorang penduduk yang enggan mendedahkan namanya.

Pertahanan Awam Gaza pula memaklumkan tiga mayat ditemukan dari rumah di Khan Yunis selepas ia dibedil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 2:37 PM