PASUKAN keselamatan memeriksa dokumen dan pemegang pasport dua kerakyatan dan warga asing di sempadan Rafah-Mesir, pada Selasa. FOTO AFP
PASUKAN keselamatan memeriksa dokumen dan pemegang pasport dua kerakyatan dan warga asing di sempadan Rafah-Mesir, pada Selasa. FOTO AFP
AFP

Gaza: Beratus-ratus pemegang pasport asing masih beratur panjang di lintasan Rafah, antara Semenanjung Gaza dan Mesir, pada Selasa untuk menunggu giliran keluar dari Gaza selepas pintu sempadan itu dibuka minggu lalu.

Meskipun ramai dalam kalangan mereka cemas menanti giliran masing-masing, ketibaan pertama dilihat di sebelah Mesir apabila paramedik memindahkan seorang wanita yang cedera di atas pengusung ke dalam ambulans untuk membawanya ke hospital.

Selasa menandakan hari kelima lintasan tunggal Gaza-Mesir yang tidak dikawal tentera rejim zionis Israel, dibuka kepada rakyat Palestin yang cedera, warga Palestin memiliki dua kerakyatan dan warga asing.

Rakaman video AFP dari Gaza menunjukkan ratusan orang awam setia menunggu giliran mereka untuk keluar dari Gaza bersama beg dan barangan masing-masing, di kompleks terminal Rafah.

"Kami menderita seperti mana-mana penduduk Gaza, kami menunggu lama untuk lintasan (sempadan) dibuka," kata Farid Nawasra, yang memegang pasport Rusia.

"Kami menunggu setiap hari untuk nama kami dimasukkan ke dalam senarai dan berharap hari ini mereka meluluskannya kerana mereka membenarkan orang asing keluar."

Pelepasan keluar dari Semenanjung Gaza disambung semula pada petang Selasa selepas 500 orang menerima kebenaran untuk memasuki Mesir, kata pegawai Hamas.

"Setiap orang di Gaza berada dalam bahaya," kata Myrian Abu Shaban, seorang penduduk Gaza City. "Saya gembira kami berjaya sampai ke sempadan (Rafah)."

Tentera rejim zionis Israel meningkatkan serangan darat di Gaza sebagai sebahagian daripada tindak balas tentera terhadap serangan pejuang Hamas, 7 Oktober lalu.

Konflik Israel-Gaza ketika ini sudah mengorbankan 1,400 warga Israel, menurut pihak berkuasa rejim zionis itu.

Kementerian Kesihatan di Gaza pada Selasa memaklumkan 10,328 rakyat Palestin terbunuh di wilayah itu sejak permulaan serangan Israel, kebanyakannya orang awam.

Israel berkata, ia cuba meminimumkan korban awam dan menuduh Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Rejim zionis itu kini mengepung Gaza City yang didakwa mereka markas pejuang Hamas dan mengarahkan orang awam Palestin berpindah dan bergerak ke selatan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 11:47 AM