PENUNJUK perasan mengibarkan bendera Palestin ketika demonstrasi di Paris, Isnin lalu. FOTO AFP
PENUNJUK perasan mengibarkan bendera Palestin ketika demonstrasi di Paris, Isnin lalu. FOTO AFP
AFP

Gaza: Israel terus mendapat kecaman global terutama daripada beberapa negara dan organisasi berhubung serangan yang membunuh 45 penduduk di sebuah kem di Rafah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, Ahad lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Keselamatannya memanggil mesyuarat tergempar mengenai serangan di Rafah itu, dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengecam apa yang disebutnya sebagai serangan yang membunuh ramai orang awam yang tidak berdosa yang hanya mencari perlindungan daripada konflik maut ini.

"Tiada tempat selamat di Gaza. Serangan ngeri ini mesti dihentikan," kata Guterres dalam catatan media sosial.

Pegawai PBB lain menggesa siasatan menyeluruh terhadap insiden itu.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) oleh Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell berkata, beliau terkejut dengan berita yang keluar dari Rafah mengenai serangan Israel yang membunuh berpuluh-puluh orang yang kehilangan tempat tinggal, termasuk kanak-kanak kecil.

"Saya mengutuk perkara ini sekeras-kerasnya," katanya.

Dalam pada itu, menteri luar EU bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan Israel untuk mendapatkan penjelasan.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pula berkata, Israel mesti berbuat lebih banyak untuk melindungi orang awam.

"Seperti yang sudah kami jelaskan, Israel mesti mengambil setiap langkah berjaga-jaga yang mungkin untuk melindungi orang awam.

"Kami secara aktif membabitkan tentera dan rakan kongsi di lapangan untuk menilai apa yang berlaku," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS dalam satu kenyataan.

Selain itu, Kesatuan Afrika berkata, Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa.

"Dengan serangan udara semalaman yang mengerikan yang membunuh kebanyakan wanita dan kanak-kanak Palestin, Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa tanpa sewenang-wenangnya dan menghina keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dua hari lalu yang mengarahkan tindakan ketenteraannya dihentikan dalam Rafah.

"Perintah ICJ mesti dikuatkuasakan segera jika perintah global mahu diguna pakai," kata ketua Suruhanjaya AU, Moussa Faki Mahamat di X.

Perancis menerusi Presiden Emmanuel Macron di X berkata, operasi tentera Israel segera dihentikan.

"Tiada kawasan selamat di Rafah untuk orang awam Palestin. Saya menyeru supaya menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan gencatan senjata segera," katanya.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata, pihaknya akan melakukan segala yang mungkin untuk menghalang Israel.

"Pembunuh ini bertanggungjawab yang tidak ada kaitan dengan kemanusiaan," katanya.

Kementerian Luar Mesir juga kesal dengan peristiwa tragis itu dan mengecam tindakan Israel yang mensasarkan orang awam yang tidak berdaya.

"Dasar sistematik yang bertujuan untuk meluaskan skop kematian dan kemusnahan di Semenanjung Gaza untuk menjadikannya tidak boleh didiami.

"Israel perlu melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai pemberhentian serta-merta operasi ketenteraan di Rafah," katanya.

Kementerian Luar Chile berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya serangan sewenang-wenangnya oleh Pasukan Pertahanan Israel ke atas kem pelarian awam di Rafah.

Ia juga menyeru Israel untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan langkah-langkah yang diperintahkan oleh ICJ.

Presiden Gabriel Boric pula menulis 'Penjenayah' di akaun Instagramnya selepas serangan itu dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:38 AM