Puteri Sarah Liyana
Puteri Sarah Liyana
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 39, menerima pelbagai ucapan doa daripada peminat dan pengikutnya di Instagram yang berharap dia bertemu jodoh baru.

Rata-rata ucapan jodoh dititipkan buat Puteri Sarah itu agar dia melangkah ke jenjang pelamin bersama pelakon dan ahli perniagaan dari Indonesia, Andi Arsyil, 37, yang juga rakan kongsinya dalam perniagaan.

Menerusi hantaran di Instagram sempena kedatangan tahun 2024 ini, Puteri Sarah bertanya apakah matlamat yang ingin dikejar peminatnya dan ia sama sekali mendapat banyak komen positif daripada wargamaya.

"What are your goals for 2024? (Apakah matlamat anda untuk 2024?)," tulisnya ringkas sebagai hantaran pembuka bicara di tahun baru.

Meninjau ke ruangan komen, kebanyakan netizen mendoakan agar pelakon drama Melastik Ke Hatimu 2 di TV3 itu dipertemukan jodoh oleh Allah dengan rakan rapatnya, Andi Arsyil.

"Berazam untuk merasa bahagia dengan PSL (Puteri Sarah Liyana) dan AA (Andi Arsyil) bersatu sebagai pasangan suami isteri. Nak terus berdoa. Siapa tahu Allah makbulkan di tahun 2024," tulis netizen.

"Selamat tahun baru PSL...Antara impian 2024...Ingin melihat PSL bahagia, sukses di dalam kerjaya, dimurahkan rezeki & bertemu pasangan hidup," komen pengikutnya.

"Semoga tahun ini bisnes Sarah dan Andi bertambah maju dan sukses produknya, bisa menjangkau semua negara," kata seorang pengguna media sosial.

"Memperbanyakkan amal ibadah, insyaAllah. Selamat tahun baru 2024, Puteri Sarah," tulis netizen.

Terdahulu, Puteri Sarah yang juga ibu dua cahaya mata sah bercerai dengan pengarah filem, Syamsul Yusof, 40, pada 14 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, tular di media sosial baru-baru ini berhubung satu hantaran video membabitkan Puteri Sarah dan Andi ketika mereka bersiaran langsung bersama.

Sementara itu, bapa mentua Puteri Sarah yang juga penerbit filem dan drama, Datuk Yusof Haslam, 69, mendoakan yang terbaik dan tidak mahu masuk campur dalam urusan pilihan jodoh baharu wanita itu.

Yusof berkata, sebagai bapa apa yang diharapkannya agar Puteri Sarah bertemu jodoh dengan lelaki yang dapat membahagiakan dirinya serta anak-anak dan biarlah takdir menentukan segalanya untuk mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 3:21 PM