PUTERI Sarah Liyana. FOTO Arkib NSTP
PUTERI Sarah Liyana. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Puteri Sarah Liyana lebih suka keluar bekerja berbanding 'terperap' di dalam rumah susulan konflik rumah tangga yang berlaku ketika ini. 

Puteri Sarah berkata, peluang berjumpa dengan rakan-rakan akan membuatkan hatinya lebih gembira selain tidak peduli dengan masalah yang datang. 

"Saya akan lebih normal apabila saya bekerja. Kalau dulu tiada kerja dan duduk di rumah saja, memang saya jadi 'tak betul'. Tapi bila ada kerja dan berjumpa orang luar, saya tak fikir masalah yang datang. 

"Alhamdulillah saya masih ada kerja dan rakan-rakan yang sentiasa menghiburkan saya. Kerja saya pun tidak terganggu sebab segala masalah saya letak di belakang," katanya. 

Menurut Puteri Sarah, dia reda apabila jodoh bersama suaminya yang juga pengarah popular, Syamsul Yusof hanya mampu bertahan selama sembilan tahun. 

"Saya sangat lega apabila segala apa yang saya pertahankan tapi jodoh sampai di sini saja," katanya. 

Semalam, Puteri Sarah yang ditemani dua adiknya iaitu Puteri Sofia Nadira dan Megat Imran Ikram serta peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini.

Permohonan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan dan Summayah, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 12:24 PM