Hartanah itu terletak di atas tanah seluas 3.9 hektar di tengah taman yang dilindungi di tebing Sungai Potomac, Maryland. FOTO Agensi
Hartanah itu terletak di atas tanah seluas 3.9 hektar di tengah taman yang dilindungi di tebing Sungai Potomac, Maryland. FOTO Agensi
Agensi

Annapolis, Amerika Syarikat: Hartanah di Maryland yang pernah menjadi milik Raja Jordan, Raja Hussein dan isterinya, Ratu Noor, akan dijual pada harga AS$49 juta (kira-kira RM216 juta).

Hartanah Rockville itu terletak di atas tanah seluas 3.9 hektar di tengah taman yang dilindungi di tebing Sungai Potomac.

Dilitupi batu kapur Perancis, istana itu mempunyai lima bilik tidur dan 10 bilik air itu mempunyai ruang dalaman seluas 30,000 kaki persegi.

Menurut Sotheby's International Realty, pemilik semasa hartanah yang juga pengasas pasukan Washington Commanders NFL, Dan Snyder memperoleh struktur utama itu daripada Ratu Noor, balu Raja Hussein dengan harga AS$8.64 juta (kira-kira RM38 juta) pada 2000.

Hartanah itu adalah kerjasama antara arkitek John Ike dan pereka Geoffrey Bradfield untuk mencipta rumah agam empat tingkat yang mengagumkan dan dibuat daripada batu kapur Perancis serta bumbung Mansard.

Pintu pagar besar yang dipasang pada tiang batu kapur seakan mengalu-alukan ketibaan tetamu.

Pemanduan menyusuri kawasan menghijau dan melalui batu buntar (cobblestone) yang menyediakan akses ke rumah pengawal, rumah pengurus, rumah tamu dan garaj selain kawasan landskap dengan gaya abad ke-18 dikenali sebagai jardin a l'anglaise atau taman Inggeris.

Perjalanan lebih mengujakan di laluan batu granit di hadapan kediaman utama.

Pintu besi yang dibuat khas mengarah ke ruang depan seterusnya ke dewan dua tingkat dengan siling kukuh dan pendiangan batu kapur berukuran 24 kaki (kira-kira tujuh meter).

Suite utama terletak di tingkat ketiga dan mempunyai tingkap besar serta teres peribadi yang menghadap Sungai Potomac. Melengkapkan suite itu adalah ruang duduk, bilik persalinan, dua bilik mandi berinspirasikan spa dan pejabat besar dengan rak buku dan pendiangan marmar.

Sayap tenggara kediaman itu mempunyai bilik keluarga, dapur gred komersial dan solarium sarapan pagi, manakala sayap barat laut mempunyai gimnasium, spa dan pejabat, sementara tingkat kedua mempunyai empat bilik tidur masing-masing dengan bilik mandi mewah serta ruang formal terletak di tingkat utama rumah.

Tingkat bawah kediaman menghala ke taman belakang mempunyai bilik kelab berpanel mahogani yang besar dan pawagam yang dipasang pada 2017, manakala rumah tamu serta garaj memuatkan 12 kereta disambungkan ke rumah utama dan kolam.

Selain dua bilik tidur, kuarters tetamu adalah rumah kepada dapur yang berasingan dan ruang tamu serta ruang makan yang luas.

Hartanah itu sebelum ini dijual di pasaran pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 12:42 PM