IKLAN yang menawarkan pembelian rumah dan mendapat kereta Tesla percuma. FOTO Agensi
IKLAN yang menawarkan pembelian rumah dan mendapat kereta Tesla percuma. FOTO Agensi
Agensi

Wellington: Bagi menarik perhatian pembeli dan jadi lebih menonjol daripada penjual lain, seorang pemilik hartanah New Zealand menawarkan kenderaan elektrik Tesla percuma kepada individu yang membeli rumahnya.

Portal Sky News melaporkan, kediaman tujuh bilik tidur, lima bilik air itu dilaporkan berada di pasaran sudah berminggu-minggu.

Pemiliknya memberikan tawaran sebuah kereta baharu bagi pembelian kediaman bernilai AS $1.8 juta (kira-kira RM8.2 juta).

Harga rumah New Zealand menyaksikan kejatuhan terbesar dalam tempoh 30 tahun dan turun 10.9 peratus pada Oktober dengan kejatuhan bulan ke-11 berturut-turut.

"Kadar gadai janji yang meningkat terus mempengaruhi harga rumah dan aktiviti jualan," kata ahli ekonomi Kiwibank dalam satu kenyataan.

Ia memaksa pemilik rumah nombor 22 Dungloe Avenue, Flat Bush, terpaksa menurunkan harga dan melakukan sesuatu untuk menonjol daripada lebih 400 penyenaraian lain di pinggir bandar Auckland, kata ejen jualan kediaman Barfoot & Thompson Kapil Rana kepada Stuff.co.nz.

Harga kereta itu adalah 'bonus' dan bukannya menambah nilai pasaran, tambahnya.

Selepas membeli hartanah itu, pemilik baharu boleh memilih kereta Tesla Model Y yang menawarkan lima pilihan warna dan ia kemudiannya akan dipesan dan dihantar terus daripada pengilang.

Selain dilengkapi ruang untuk meletakkan enam kereta, rumah itu juga mempunyai ruang di tingkat bawah, yang membolehkan pemilik baharunya untuk tinggal bersama keluarga besar.

Harga rumah di New Zealand meningkat kira-kira 40 peratus berbanding wabak itu sebelum memuncak pada November lalu pada tahap yang berulang kali digambarkan oleh bank pusat sebagai tidak mampan.

Memandangkan bank pusat menaikkan kadar tunai secara agresif diikuti kadar gadai janji , harganya turun dengan mendadak.

Ramai ahli ekonomi menjangkakan bahawa dengan ramalan kadar tunai akan meningkat lebih tinggi, harga rumah masih lagi jatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 2:11 PM