KUBUR besar itu ditemukan di Hospital Nasser, Khan Yunis. FOTO Reuters
KUBUR besar itu ditemukan di Hospital Nasser, Khan Yunis. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Lebih 200 individu dibunuh, sebelum mayat mereka dikebumikan oleh tentera Israel di sebuah hospital di Khan Yunis.

Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata, kesemua mayat itu ditemukan oleh petugas kesihatan dalam tempoh tiga hari lalu.

Namun, tentera Israel tidak memberikan komen lanjut.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza Mahmud Bassal berkata, kru pertahanan awam masih mencari mayat dari dalam Kompleks Perubatan Nasser.

"Sejak Sabtu, hampir 200 mayat sudah diambil. Terdapat beberapa mayat yang ditemukan sudah reput.

"Terdapat kesukaran dalam proses mengenal pasti mereka tetapi usaha pertahanan awam masih diteruskan," katanya.

Sementara itu, ketua pejabat media kerajaan Hamas di wilayah Palestin Ismail al-Thawabta, memberikan angka yang lebih tinggi iaitu 283 mayat ditemukan di hospital itu.

"Kami menemukan kubur besar di dalam Kompleks Perubatan Nasser. Orang yang dibunuh oleh tentera Israel," katanya.

Seorang pegawai kanan di agensi pertahanan awam Muhammad al-Mughyyir, turut mengesahkan penemuan mayat di kemudahan itu.

"Kerja untuk mendapatkan mayat yang masih ada akan diteruskan sehingga Khamis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 2:06 PM