ANTARA penutup kepala antipenipuan yang dipakai penuntut ketika menduduki peperiksaan berkenaan. FOTO Agensi
ANTARA penutup kepala antipenipuan yang dipakai penuntut ketika menduduki peperiksaan berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Manila: Chainsaw Man, Pikachu, dan Red dari 'Angry Bird' adalah antara yang berada dalam satu bilik peperiksaan di Kampus Lobo Universiti Negeri Batangas, yang terletak di bahagian utara Filipina, baru-baru ini.

Namun, watak-watak itu sebenarnya dipakai pelajar kursus pertanian universiti itu sebagai penutup kepala antipenipuan.

Pensyarah mereka, Angelo Ebora, berkongsi rakaman video dan gambar reka bentuk penutup kepala antipenipuan dipakai pelajarnya itu di halaman media sosialnya pada 19 Mac 2024 sebelum ia menjadi tular.

Menurut video dan gambar yang dimuat naik oleh Ebora, selain watak daripada komik Jepun dan permainan mudah alih, penuntut juga muncul dengan reka bentuk penutup kepala yang menggabungkan subjek kursus mereka.

Barangan isi rumah seperti periuk nasi, bakul dan kotak almari untuk alkohol turut muncul dipakai sebagai 'topi' di bilik peperiksaan, lapor portal Mothership.

MEREKA yang hadir dengan topi berkenaan akan diberi lima mata tambahan pada kertas peperiksaan, FOTO Agensi
MEREKA yang hadir dengan topi berkenaan akan diberi lima mata tambahan pada kertas peperiksaan, FOTO Agensi

Bercakap kepada Berita Rangkaian Televisyen Filipina 5, Ebora berkongsi bahawa dia meminta penuntut memakai topi antipenipuan kerana dia mahu "mengurangkan tekanan pelajarnya semasa peperiksaan", selain mengingatkan mereka mengenai kepentingan integriti akademik.

Walaupun mereka bentuk dan memakai penutup kepala kreatif tidak diwajibkan, mereka yang hadir dengan topi berkenaan akan diberi lima mata tambahan pada kertas peperiksaan, tambah Ebora.

Menurut Ebora, dia turut menggalakkan pelajarnya untuk memasukkan tema pertanian ke dalam reka bentuk penutup kepala mereka.

Apabila hampir 70 pelajar hadir ke peperiksaan mereka dengan memakai topi antipenipuan, Ebora sangat kagum kerana dia tidak menyangka pelajarnya mengambil inisiatif itu "sangat serius", lapor media Filipina ABS-CBN News.

Walaupun dilaporkan kali pertama topi antipenipuan muncul di Kampus Lobo Universiti Negeri Batangas, konsep sama sebelum ini sudah dilaksanakan oleh pelajar universiti di bahagian lain di Filipina.

INISIATIF itu bagi mengingatkan penuntut mengenai kepentingan integriti akademik. FOTO Agensi
INISIATIF itu bagi mengingatkan penuntut mengenai kepentingan integriti akademik. FOTO Agensi

Pada Oktober 2022, pelajar di Kolej Universiti Kejuruteraan Bicol di Legazpi City turut tular kerana memakai penutup kepala antipenipuan semasa peperiksaan pertengahan penggal kejuruteraan.

Sama seperti Ebora, profesor kursus itu, Mary Joy Mandane-Ortiz, mencari cara yang menyeronokkan untuk memastikan integriti dan kejujuran dalam pelajar kursusnya.

Walaupun pada mulanya dia meminta kelas membuat reka bentuk ringkas daripada kertas, pelajarnya mengejutkannya dengan muncul berpenutup kepala yang diperbuat daripada barangan rumah, seperti karton telur, serta yang diilhamkan oleh Halloween dan watak anime kegemaran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 11:49 AM