PENGALAMAN menghadapi peperiksaan ketika pandemik Covid-19 agak berbeza dari kebiasaan, namun calon perlu fokus.
PENGALAMAN menghadapi peperiksaan ketika pandemik Covid-19 agak berbeza dari kebiasaan, namun calon perlu fokus.
Suliati Asri


SELEPAS mengharungi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang silih berganti antara bersemuka dan dalam talian sepanjang tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19, 'pertempuran' kini sudah dimulai.

Rata-rata pelajar tingkatan lima di seluruh Malaysia sedang berjuang menjawab soalan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Dengan persediaan yang dibuat, pengorbanan masa, fokus, kata-kata nasihat dan motivasi dari rakan, guru, keluarga dan orang sekeliling, setiap langkah masuk ke dewan peperiksaan penuh dengan keyakinan.

Namun, tidak kurang juga segelintir pelajar yang mempunyai sedikit rasa cemas, takut dan gemuruh lebih-lebih lagi selepas mengharungi pelbagai cabaran pembelajaran disebabkan pandemik Covid-19.

Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, dalam mengharungi minggu peperiksaan ini, tenangkan diri ketika menjawab kertas soalan dan sentiasa berfikiran positif untuk menghilangkan rasa gugup.

Menurut Siti Fatimah, kajian menyatakan teknik pernafasan secara betul membuatkan seseorang itu menjadi tenang.

Oleh itu, tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan. Insya-Allah idea untuk menjawab soalan peperiksaan lancar apabila perasaan kita tenang.

MOTIVASI diri sebelum ke dewan peperiksaan amat penting.
MOTIVASI diri sebelum ke dewan peperiksaan amat penting.

"Mengungkapkan kata-kata positif dan semangat pada diri juga antara langkah terbaik. Perasaan takut pula boleh datang secara tiba-tiba.

"Jadi, jika ingin berasa tenang sebelum peperiksaan bermula, cuba buang perasaan takut sedikit demi sedikit dengan memberi kata-kata semangat kepada diri kita sendiri.

"Menguruskan masa dengan baik supaya tidak cemas pada hari peperiksaan, tiba awal di sekolah pada hari peperiksaan, ambil sarapan pagi dan bawa air mineral bersama kerana pengambilan air secukupnya boleh mengurangkan tekanan serta debaran.

"Terapi diri dengan aktiviti yang disukai dan bersesuaian serta menjaga keharmonian fikiran juga boleh mengelakkan rasa gemuruh," katanya.

Dalam keadaan sekarang kata Siti Fatimah, calon perlu bijak kawal emosi dan latih minda supaya memberi fokus kepada persiapan yang berwajib seperti kelengkapan, nota, soalan yang diyakini masuk peperiksaan, menjaga kesihatan dan memastikan diri mendapat rehat secukupnya terutama tidur yang lena.

"Jaga pemakanan supaya tidak timbul masalah kesihatan pada tarikh akhir menduduki peperiksaan. Gangguan kesihatan boleh memberi tekanan lebih teruk.

SITI Fatimah
SITI Fatimah

"Elakkan juga gangguan lain terutama gangguan media sosial, televisyen, telefon mudah alih dan sebagainya yang boleh menyebabkan pembaziran masa.

"Ulang kaji secara SMART bukan HARD. Otak yang letih tidak boleh menyerap ilmu dengan baik. Menonton video berunsur motivasi selama 10 minit setiap hari mampu memberi motivasi dan inspirasi untuk bekerja keras," katanya.

Bagi yang mengulang kaji pelajaran dalam tempoh peperiksaan ini kata Siti Fatimah, pelajar itu perlu fokus lebih kepada nota ringkas bagi subjek yang memerlukan fakta dan infomasi.

Manakala subjek yang berkaitan formula pula memerlukan latih tubi bagi soalan yang sukar dan rumit membabitkan latih tubi soalan peperiksaan lalu, soalan percubaan semua negeri dan soalan ramalan pakar penggubal soalan.

"Pelajar tentu sudah sedia maklum bahawa soalan peperiksaan akan sentiasa berulang selama tempoh lima tahun. Jadi, tidak perlu bersusah payah meramal soalan itu dan ini, rujuk terus soalan peperiksaan yang terdahulu sahaja.

"Selain itu, pembelajaran melalui video akan memudahkan pelajar mengingati apa yang berlaku terutama subjek yang mempunyai fakta seperti sejarah.

DR Yahya
DR Yahya

"Infografik yang dipertontonkan akan memudahkan anda memahami jalan cerita berbanding jika hanya membaca dan menghafal. Lakukan secara santai, tetapi sampai matlamatnya," katanya.

Tidak dinafikan, calon yang sedang menjalani kuarantin akibat jangkitan Covid-19 ini pasti turut sama merasai sedikit tekanan. Maklumlah rakan-rakan lain sedang menduduki peperiksaan, mereka pula dikuarantin.

Tetapi, hal itu seharusnya tidak memberi tekanan buat mereka. Justeru, kata Siti Fatimah, untuk mengelak hal itu berlaku, calon perlu mengalihkan fokus kepada emosi yang tenang supaya tidak panik.

"Tidak dinafikan emosi boleh tercalar akibat kuarantin ini. Namun jika calon boleh menerima perkara ini sebaiknya diikuti pengetahuan mengenai penyakit ini, ia pasti menjadikan calon lebih matang dan rasional.

"Calon perlu bijak membezakan antara dua keadaan iaitu peperiksaan dan kuarantin. Dalam tempoh kuarantin, pengambilan ubat-ubatan yang disyorkan perlu diberi perhatian bagi memastikan kesembuhan yang cepat. Prosedur operasi standard (SOP) juga perlu diberi keutamaan.

"Manakala peperiksaan adalah perkara lain yang asasnya memerlukan persiapan sejak beberapa tahun sebelum ini serta bukan baru bermula. Maka kesedaran itu membolehkan pelajar berfikir rasional dan menetapkan keutamaan dalam tindakan serta tumpuan," katanya.

Ketika anak-anak menempuh peperiksaan yang besar buat mereka, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendokong mereka.

Menurut Siti Fatimah, selain berdoa, ibu bapa boleh mengaplikasikan gaya keibubapaan yang positif seperti membantu anak melakukan persiapan menghadapi peperiksaan, menawarkan bantuan, mengatur jadual harian yang dipersetujui bersama dan memahami tekanan dalam diri anak menerusi perubahan sikap, emosi mahupun lisan.

"Sebagai ibu bapa, kita perlu tahu keyakinan itu datangnya daripada persediaan. Semakin bersedia anak kita maka semakin yakinlah dia.

"Dorong anak secara positif dan proaktif tanpa mendesak. Ibu bapa perlu selalu memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang positif," katanya.

Siti Fatimah berkata, apabila anak akan menduduki peperiksaan penting, maka keseluruhan ahli keluarga yang ada dalam rumah perlu memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Antaranya menghormati waktu ulang kaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikannya sebagai waktu belajar.

"Ibu bapa juga boleh memberikan layanan istimewa dan berikan pelepasan untuk tugasan yang menjadi rutin harian mereka di rumah. Buat sementara ini, agihkan tugasan itu kepada orang lain seperti kakak, abang, adik ataupun ibu bapa sendiri sebagai langkah terbaik.

"Mengambil cuti juga satu langkah yang baik kerana ini masanya ibu bapa dapat memberikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang menduduki peperiksaan.

"Ambil cuti beberapa hari dan usahakan menghantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan. Sepanjang perjalanan, terus berikan kata perangsang dan nasihat mereka," katanya.

Kepada semua calon SPM 2021, kata Siti Fatimah, tetapkan matlamat untuk melakukan yang terbaik selagi terdaya.

"Jadikan hari ini sebagai permulaan pada kehidupan yang mendatang kerana ia adalah satu peluang dan kesempatan untuk masa depan selepas persekolahan.

"Tetapkan matlamat yang selaras dengan usaha dan tidak terlalu mendesak diri pada saat akhir.

"Ibu bapa pula seharusnya memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak tanpa jemu. Terus bimbing anak supaya fokus dan yakin dalam peperiksaan setakat kemampuan mereka," katanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Yahya Don berkata, sedikit tip kepada calon adalah dengan fokus terhadap kaedah menjawab soalan yang betul kerana kaedah dan aras soalan tidak berbeza dengan kaedah soalan sebelum ini.

Katanya, dari segi aras soalan atau tahap soalan tidak berbeza, kerana 'method' soalan era pandemik masih tetap sama seperti sebelum ini.

"Aspek kualiti dan tahap soalan yang menguji minda pelajar masih tetap sama dalam menjamin kualiti modal insan serta pembangunan negara pada masa depan.

"Oleh itu, pelajar dan ibu bapa perlu memberi perhatian mengenai aspek ini kerana isu bentuk soalan masih tetap sama walaupun ada yang berpendapat aras kesukaran lebih mudah atau tidak mencabar kerana pandemik Covid-19 ini. Sangkaan ini perlu diperbetulkan," katanya.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian menurut Dr Yahya, adalah berkaitan sukatan pelajaran.

Menurutnya, ada sesetengah pelajar melihat bahawa sukatan pelajar mungkin lebih ringkas kerana isu Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan ada sukatan yang tidak dapat dihabiskan mungkin disebabkan isu kelas tertangguh ataupun masalah internet ketika PdPR itu.

"Sesungguhnya aspek ini juga perlu dielakkan kerana skop peperiksaan atau soalan masih tetap sama seperti sukatan yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Adalah diingatkan calon SPM dapat memberi fokus dan tip yang sudah diberikan guru dan perbincangan dengan rakan secara serius," katanya.

Sesungguhnya ruang dan peluang yang tersedia ketika episod pandemik ini adalah sesuatu yang amat bernilai dalam erti kata, calon boleh atau diberi peluang untuk berbincang dengan guru atau rakan tanpa had masa dan tempat.

"Mungkin situasi begini tidak berlaku sebelum ini. Oleh itu, ambil kesempatan emas ini untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM," katanya.

Mengulas bagaimana supaya pelajar berasa selesa sepanjang berada dalam dewan peperiksaan berikutan perlu mematuhi SOP, kata Dr Yahya, keselesaan sebenarnya terletak pada minda, sama ada memakai pelitup muka atau tidak.

"Setiap peperiksaan mempunyai peraturan atau SOP yang wajib dipatuhi. Namun dalam konteks pandemik ini, SOP itu sedikit berbeza terutama dalam memastikan tahap kesihatan calon.

"Sebenarnya ia adalah satu kaedah yang amat baik dalam memastikan kesihatan calon berada pada tahap terbaik sepanjang peperiksaan. Hal demikian dapat mengelak prejudis antara calon dan perkara lain yang boleh menimbulkan syak tidak baik kepada rakan dan boleh memberi kesan kepada aspek psikologi calon,' katanya.

"Dicadangkan juga pelajar dapat memakai pelitup muka yang lebih selesa dan tidak ulang pakai pelitup muka yang sama setiap hari ketika peperiksaan kerana boleh memudaratkan kesihatan pelajar," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:20 AM