ASAP tebal dilihat susulan serangan udara Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat susulan serangan udara Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin bimbang akan ketenteraman awam di Gaza, selepas komunikasi terputus semula pada Khamis, di tengah-tengah kekurangan bahan api yang teruk.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat atau UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, Gaza sekali lagi mengalami gangguan komunikasi dan kekurangan bahan api.

Lazzarini menegaskan bahawa disebabkan kekurangan bahan api, 70 peratus penduduk di selatan Gaza tidak lagi dapat memperoleh air bersih dan sisa kumbahan mula mengalir di jalanan.

"Satu lori bahan api yang dibenarkan masuk adalah jauh dari mencukupi. Kesan pengepungan itu sangat teruk. Ada cubaan sengaja untuk menghalang operasi kami dan melumpuhkan operasi UNRWA di Gaza.

"Kami memerlukan bahan api, bahan api dan bahan api. Hari ini (Khamis), tiada lagi bahan api yang tersedia di Semenanjung Gaza atau sekurang-kurangnya tidak boleh diakses oleh UNRWA.

"Jika isu bahan api tidak ditangani, kami menghadapi risiko terpaksa menangguhkan keseluruhan operasi kemanusiaan," katanya.

Menurutnya, sekatan terbaru komunikasi itu dijangka hanya merumitkan lagi keadaan, menghalang kakitangan UNRWA daripada berkomunikasi antara satu sama lain.

"Apabila anda mengalami sekatan dan tidak boleh berkomunikasi dengan sesiapa lagi itu mencetuskan dan menyemarakkan lagi kebimbangan dan panik," katanya.

Sementara itu, syarikat telekomunikasi Palestin Paltel mengesahkan sekatan telekomunikasi itu.

"Semua perkhidmatan telekomunikasi di Semenanjung Gaza tidak berfungsi kerana semua sumber tenaga yang mengekalkan rangkaian habis, dan bahan api tidak dibenarkan masuk," katanya di aplikasi X (sebelum ini, Twitter).

Pengumuman itu dibuat sehari selepas trak yang membawa 23,000 liter bahan api memasuki Gaza, menandakan penghantaran bahan api pertama ke wilayah Palestin, sejak perang antara Israel dan Hamas meletus hampir enam minggu lalu.

Sebelumnya, Israel mengenakan kepungan hampir keseluruhan ke atas Gaza, dengan sedikit makanan, air, ubat-ubatan dan bantuan lain masuk, dan tiada bahan api selain satu muatan trak minggu ini.

Israel bimbang Hamas akan menggunakan bahan api untuk senjata dan bahan letupan.

Tetapi agensi bantuan berulang kali menggariskan keperluan terdesak untuk bahan api digunakan untuk menggerakkan penjana hospital dan membersihkan air minuman.

Lazzarini turut memberi amaran bahawa pengepungan itu boleh menjadi sebab utama mengapa orang akan mati dan terbunuh di Semenanjung Gaza.

Dalam masa sama, Lazzarini menyuarakan rasa terkejut dengan apa yang disaksikannya semasa lawatan ke sekolah UNRWA, baru-baru ini, yang menurutnya dahulu dipenuhi dengan kanak-kanak yang bersemangat untuk belajar dan itu berubah menjadi tempat perlindungan yang sesak untuk orang yang kehilangan tempat tinggal.

"Kanak-kanak itu merayu untuk seteguk air, atau untuk sebuku roti. Sangat menyayat hati apabila berada dalam keadaan di mana orang ramai dilucutkan maruah mereka sehingga mereka mula mengemis untuk mendapatkan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:58 AM