ROKET Kairos itu meletup beberapa saat selepas pelancaran. FOTO Reuters
ROKET Kairos itu meletup beberapa saat selepas pelancaran. FOTO Reuters
AFP

Tokyo: Roket milik sebuah syarikat swasta di Jepun, meletup beberapa saat selepas pelancaran pada Rabu.

Roket Kairos sepanjang 18 meter milik Space One yang berpangkalan di Tokyo itu meletup di landasan pelancaran syarikat itu sendiri di wilayah Wakayama di barat Jepun.

Ketika dilancarkan, ia membawa satelit ujian kecil milik kerajaan.

Tetapi beberapa saat kemudian, roket bahan api pepejal itu meletus dan menjadi bebola api, menyebabkan kepulan asap tebal ke kawasan pergunungan.

"Pelancaran roket Kairos pertama dilaksanakan, tetapi kami mengambil langkah untuk membatalkan penerbangan itu," kata Space One dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa "butiran sedang disiasat".

Serpihan roket itu jatuh ke cerun di kawasan sekitarnya dalam adegan dramatik yang ditonton oleh ratusan penonton. Mereka sebelum itu berkumpul di kawasan tontonan awam termasuk di kawasan pantai berhampiran.

"Saya mempunyai harapan tinggi untuk ini, jadi saya kecewa. Saya ingin tahu apa yang berlaku," kata seorang lelaki tua kepada penyiar awam, NHK.

Kegagalan itu memberi tamparan kepada usaha Jepun untuk memasuki pasaran pelancaran satelit.

Jepun mahu menilai sama ada ia boleh melancarkan satelit kecil dan sementara dengan cepat, apabila satelit perisikan sedia ada di orbit tidak dapat berfungsi.

Kejayaan pelancaran pada Rabu akan memberi gambaran mengenai kebolehlaksanaan program sedemikian.

Rancangannya adalah untuk Kairos - perkataan Bahasa Yunani kuno yang bermaksud "saat yang tepat" - untuk meletakkan satelit ke orbit, kira-kira 51 minit selepas pelepasan.

Kekurangan alat ganti dan masalah lain dilaporkan menyebabkan Space One menangguhkan pelancaran Kairos sebanyak lima kali sebelum percubaan pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 12:20 PM