ANGGOTA polis dan pekerja penyelamat di lokasi kejadian letupan itu. FOTO Rescue 112/ Reuters
ANGGOTA polis dan pekerja penyelamat di lokasi kejadian letupan itu. FOTO Rescue 112/ Reuters
AFP

Kabal, Pakistan: Sekurang-kurangnya 12 orang, sebahagian besarnya adalah polis, terbunuh selepas siri letupan di depoh simpanan senjata di balai polis di Pakistan, Isnin lalu.

Letupan itu memusnahkan stesen khas pencegahan jenayah di bandar Kabal di Lembah Swat, di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa yang berjiran dengan Afghanistan.

Insiden itu ketika peningkatan siri serangan dilancarkan militan terhadap polis di Pakistan, dengan banyak dikaitkan cawangan tempatan Taliban, dan menyebabkan kebimbangan berhubung serangan baharu.

Namun, ketua polis Swat, Shafi Ullah Gandapur berkata, litar pintas di kawasan simpanan bahan letupan di aras bawah tanah menjadi punca letupan berkenaan.

"Tiada petunjuk bahawa ia disebabkan oleh serangan luar atau serangan berani mati," katanya kepada pemberita.

Khalid Sohail, pegawai kanan di jabatan pencegahan jenayah berkata, impak letupan menyebabkan bangunan itu runtuh.

"Beberapa siri letupan antara dua dan tiga siri berlaku," kata Inspektor Jeneral wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Akhtar Hayat Gandapur kepada AFP, sambil menyatakan bahawa majoriti mangsa adalah polis.

Bilal Faizi, jurucakap perkhidmatan menyelamat Khyber Pakhtunkhwa berkata, 12 orang maut, manakala 50 lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 11:09 AM