REAKSI penyokong ketika keputusan awal menunjukkan Prabowo Subianto mendahului kiraan undi. FOTO Reuters
REAKSI penyokong ketika keputusan awal menunjukkan Prabowo Subianto mendahului kiraan undi. FOTO Reuters
AFP

Jakarta: Latar belakang ketenteraan Prabowo Subianto dipercayai menjadi faktor penentu bagi sesetengah pengundi dalam memilihnya sebagai Presiden.

"Beliau mempunyai latar belakang tentera, jadi saya fikir beliau akan menjadi pemimpin yang tegas," kata Afhary Firnanda, seorang kakitangan pejabat berusia 28 tahun di Jakarta.

Prabowo dipecat daripada tentera pada 1998 atas tuduhan mengarahkan penculikan aktivis demokrasi pada akhir pemerintahan Presiden Suharto, tetapi menafikan dakwaan itu dan tidak pernah didakwa.

Sejak itu, beliau memulihkan reputasinya, sebahagiannya hasil daripada kempen di laman sosial sosial dengan menyasarkan remaja Indonesia yang menggambarkannya sebagai 'datuk'.

Strategi digunakan membuahkan hasil, dan bekas jeneral itu mengakui undian belia membantunya menang di negara yang mana golongan milenial dan Gen-Z membentuk lebih separuh daripada pengundi.

Satu lagi faktor utama dalam popularitinya adalah memilih anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi), Gibran Rakabuming Raka, 36, sebagai gandingannya.

Ketua hakim Indonesia, yang juga abang ipar Jokowi pada Oktober lalu, mengubah peraturan yang menghalang calon di bawah umur 40 tahun daripada bertanding jawatan tinggi.

Beberapa pemerhati juga menuduh Jokowi menggunakan dana kerajaan secara tidak wajar untuk menyokong Prabowo, yang disifatkan Presiden itu sebagai tuduhan tidak wajar.

"Sokongan Jokowi sangat besar," kata Yoes Kenawas, penganalisis politik di Universiti Katolik Atma Jaya.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia menyatakan kebimbangan bahawa beliau boleh menarik balik kebebasan demokrasi.

"Kami sentiasa bimbang mengenai komitmennya terhadap demokrasi," kata Yoes Kenawas, seorang penyelidik di Universiti Katolik Atma Jaya yang berpangkalan di Jakarta.

Sementara, pesaing Prabowo, Anies Baswedan berkata, beliau akan menghormati keputusan itu hanya apabila ia dimuktamadkan.

"Kita perlu menghormati keputusan rakyat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat kempennya selepas pesaingnya itu mendakwa memperoleh kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 10:43 AM