AFP

Jakarta: Rakyat Indonesia mula mengundi pada Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 untuk presiden baharu hari ini dengan Calon Presiden (Capres) Prabowo Subianto mendahului Pemilihan Umum Presiden (Pilpres), lapor AFP.

Pasukan pengundian kepada Menteri Pertahanan republik itu giat mengekalkan momentum mendapatkan majoriti bagi menggantikan Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober ini.

Bekas jeneral berusia 72 tahun itu ketika ini adalah pilihan Capres popular untuk memenangi Pemilu kali ini dan pasukan Prabowo cuba mengelak undian pusingan kedua untuk mencapai kemenangan.

"Kami akan berjuang untuk membawa kesejahteraan bagi seluruh rakyat Indonesia. Kami akan meneruskan apa yang telah dibina oleh presiden terdahulu (Jokowi)," kata Prabowo kepada penyokongnya pada perhimpunan kempen hujung minggu lalu.

Kira-kira 205 juta pengundi layak untuk keluar mengundi sempena Pemilu ini yang menyaksikan pertembungan antara Prabowo dengan pesaingnya Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo.

Pusat pengundian dibuka jam 7 pagi bermula di wilayah paling timur Papua dan dijangka ditutup pada 1 tengah hari, berakhir di hujung negara republik itu, Sumatera.

"Saya akan mengundi pemimpin (Capres) yang terbaik untuk membangunkan Papua," kata Daton, pelajar berusia 19 tahun di bandar Timika memberitahu AFP.

PRABOWO selepas selesai mengundi di Bogor, Jawa Barat. FOTO AFP
PRABOWO selepas selesai mengundi di Bogor, Jawa Barat. FOTO AFP

Di ibu negara republik itu, Jakarta, ribut petir dan hujan membanjiri jalan menyebabkan beberapa pusat mengundi dibuka lewat.

Begitupun, seorang perunding, Debbie Sianturi, 57, bertekad untuk keluar mengundi.

"Saya mahu memilih pemimpin yang akan meneruskan demokrasi," katanya.

Prabowo memerlukan lebih 50 peratus undi keseluruhan dan sekurang-kurangnya satu perlima undi daripada 38 provinsi untuk memenangi Cilpres dan mengesahkan pemilikan jawatan sebagai presiden republik itu.

Bekas gabenor Jakarta, Anies yang dilihat sebagai pilihan untuk mencabar Prabowo sekiranya berlaku undian pusingan kedua, memberitahu penyokongnya supaya membantu memastikan undian yang adil.

"Kembali ke pusat mengundi, pantau kiraan undi, dan laporkan kepada platform yang memantau kiraan undi," katanya kepada pemberita.

Bekas gabenor Jawa Tengah Ganjar yang yang jatuh di tempat ketiga populariti Pemilu kali ini, pada Rabu bahawa "rakyat mengharapkan pilihan raya yang bersih."

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia meluahkan kebimbangan sekiranya Prabowo menang ia bakal menghalang kebebasan demokrasi berikutan beliau pernah dituduh mengarahkan penculikan aktivis demokrasi pada akhir pemerintahan Suharto.

Prabowo dipecat daripada tentera pada 1998 tetapi beliau menafikan tuduhan itu dan tidak pernah didakwa.

"Kami sentiasa bimbang tentang komitmennya terhadap demokrasi," kata Yoes Kenawas, penyelidik dari Universiti Katolik Atma Jaya yang berpangkalan di Jakarta.

"Jika dia memenangi Pilpres , persoalan itu akan sentiasa berlarutan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 1:19 PM