GAMBAR fail menunjukkan rusuhan di Tanah Abang, Jakarta pada 22 Mei lalu. FOTO Agensi
GAMBAR fail menunjukkan rusuhan di Tanah Abang, Jakarta pada 22 Mei lalu. FOTO Agensi
Reuters

POLIS Indonesia menahan enam orang disyaki merancang pembunuhan empat tokoh negara ketika kekacauan di Jakarta minggu lalu, kata jurucakap polis semalam.

Lapan orang terbunuh dan lebih 900 cedera dalam pertempuran dua malam antara penyokong calon presiden yang kalah, Prabowo Subianto dan pasukan keselamatan di pusat bandar Jakarta dengan polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah, dibalas mercun serta batu oleh perusuh.

Anggota keselamatan percaya keganasan yang tercetus selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) disahkan menang pilihan raya bulan lalu, dianjurkan beberapa kumpulan termasuk satu yang berkaitan dengan Daish serta satu lagi dikaitkan dengan seorang jenera pasukan khas bersara yang dituduh menyeludup senjata ke Jakarta.

Jurucakap polis kebangsaan, Muhammad Iqbal berkata: “Kumpulan ini mahu membunuh empat tokoh kebangsaan.”

Lima lelaki dan seorang wanita itu sudah didakwa atas tuduhan memiliki senjata, katanya, iaitu tuduhan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Menurutnya, suspek menerima 150 juta rupiah (RM44,000) daripada sumber tidak dikenal pasti. Dia juga tidak menamakan empat sasaran pembunuhan itu tetapi berkata, Jokowi bukan antaranya.

Suspek turut melakukan pemantauan terhadap ketua firma pengundian swasta selepas beberapa firma seperti itu menyatakan kemenangan Jokowi berdasarkan kiraan pantas.

Muhammad Iqbal berkata, pembunuhan itu dirancang sejak Mac lalu dan ada antara suspek membawa senjata ketika menyertai protes minggu lalu.

Polis turut mempamerkan beberapa senjata di sidang media itu, termasuk raifal dengan kanta teleskop buatan sendiri.

Keadaan kembali aman di ibu negara itu, namun 40,000 anggota polis serta tentera masih mengawal keselamatan.

Parti politik Prabowo, Gerindra menafikan sebarang kaitan dengan pertempuran itu, sebaliknya menuduh polis melakukan kekerasan terhadap penyokong mereka.

Jokowi menang lebih 85 juta undian, tetapi Prabowo mendakwa berlaku penipuan besar-besaran dan enggan mengaku kalah. Jumaat lalu, dia mencabar keputusan rasmi pilihan raya di Mahkamah Perlembagaan yang akan memberikan keputusannya pada 28 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:30 AM