CALON Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Anies Baswedan (tengah, kiri) dan Muhaimin Iskandar (tengah, kanan) melambai kepada penyokong di depan Suruhanjaya Pilihan Raya di Jakarta. FOTO AFP
CALON Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Anies Baswedan (tengah, kiri) dan Muhaimin Iskandar (tengah, kanan) melambai kepada penyokong di depan Suruhanjaya Pilihan Raya di Jakarta. FOTO AFP
Reuters

Jakarta: Pendaftaran mula dijalankan di Indonesia, hari ini, untuk calon yang bersaing bagi menggantikan Presiden Joko Widodo selepas hampir sedekad beliau berkuasa, ketika musim pilihan raya bermula di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Hampir 205 juta daripada lebih 270 juta penduduk Indonesia pada Februari tahun depan akan memilih siapa yang akan menerajui negara yang kaya dengan sumber ekonomi lebih AS$1 trilion (RM4.74 trilion) dan mengambil langkah bercita-cita tinggi untuk meningkatkan pelaburan asing, membangunkan industri hiliran dan beralih daripada pergantungan bahan api fosil.

Persaingan presiden dijangka dikuasai tiga individu lelaki - Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, 72, selain bekas gabenor, Ganjar Pranowo dan Anies Baswedan, kedua-duanya berusia 54 tahun.

Kem Anies dan Ganjar memberi isyarat bahawa mereka akan mendaftar dan membentangkan platform dasar mereka di Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini apabila pendaftaran selama tujuh hari itu mula dibuka.

Tinjauan pendapat menunjukkan Ganjar bersaing rapat dengan Prabowo, yang membuat percubaan kali ketiga bagi jawatan presiden selepas tewas kepada Jokowi pada 2014 dan 2019. Bekas gabenor Jakarta, Anies mengekori di belakang mereka.

Calon juga akan mengesahkan gandingan iaitu bagi mengisi jawatan naib presiden, sekali gus menamatkan spekulasi berbulan-bulan.

Ganjar, pilihan presiden untuk Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), akan disertai bekas hakim dan Ketua Menteri Keselamatan, Mahfud MD, manakala Anies bergandingan dengan Muhaimin Iskandar, pemimpin terbesar Parti Islam yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan Islam seramai 40 juta ahli.

Bekas komander pasukan khas, Prabowo masih belum mengumumkan pasangan naib presidennya, isu yang mendominasi tajuk berita sejak kebelakangan ini di tengah-tengah spekulasi beliau akan disertai oleh anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun.

Potensi pencalonan Gibran akan menjadi kontroversi selepas kemarahan minggu ini berhubung keputusan Mahkamah Perlembagaan bahawa umur minimum 40 tahun tidak perlu dikenakan kepada semua calon yang memohon jawatan presiden atau timbalan presiden.

Jokowi minggu ini berkata, beliau tidak mempunyai pembabitan dalam calon presiden, tetapi orang dalam politik berkata pemimpin yang akan keluar itu sedang berusaha untuk mengekalkan pengaruh dan secara rahsia mengumpulkan sokongan untuk Prabowo, setelah kelihatan menyokong Ganjar, calon partinya PDI-P.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 11:53 AM