RAKYAT Indonesia akan mengetahui siapa presiden mereka selepas semua punat mengundi Pilihan Raya Indonesia 2019. FOTO REUTERS
RAKYAT Indonesia akan mengetahui siapa presiden mereka selepas semua punat mengundi Pilihan Raya Indonesia 2019. FOTO REUTERS
Reuters

JAKARTA: Hanya beberapa jam lagi rakyat Indonesia akan mengetahui siapa presiden mereka selepas semua pusat mengundi Pilihan Raya Indonesia 2019 bagi memilih presiden dan wakil rakyat dari peringkat daerah sehingga parlimen, ditutup pada 1 petang waktu tempatan.

Selama lapan jam, pengundi membuang undi mereka di lebih 800,000 pusat mengundi, memilih daripada lebih 245,000 calon untuk lebih 24,000 kerusi.

Presiden Joko Widodo atau Jokowi, ahli perniagaan perabot yang memasuki politik 14 tahun lalu sebagai datuk bandar sebuah bandar kecil, berusaha mempertahankan jawatannya, menghadapi saingan kali kedua bekas jeneral, Prabowo Subianto, yang juga bekas menantu Suharto.

Jokowi menang tipis dalam pertembungan pertama mereka pada 2014.

Hampir semua tinjauan memberi kelebihan kepada Jokowi untuk menang.

Jokowi yang memakai kemeja putih ditemani isterinya, Iriana Widodo, membuang undi mereka di Jakarta.

Kiraan cepat tidak rasmi berdasarkan data dari pusat mengundi akan diumumkan beberapa jam selepas pengundian berakhir, bermakna bakal presiden akan diketahui hari ini, namun keputusan rasmi hanya akan diumumkan Mei nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 3:45 PM