AFP

Gaza: Lori yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza mula memasuki pintu sempadan Rafah dari Mesir pada Sabtu, sumber keselamatan dan seorang pegawai Bulan Sabit Merah Mesir memberitahu AFP.

Televisyen negara Mesir menunjukkan beberapa lori memasuki pintu sempadan itu pada hari ke-15 perang antara Israel dan Hamas.

Dua puluh lori dari Bulan Sabit Merah Mesir, yang bertanggungjawab menghantar bantuan daripada pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memasuki terminal di pintu di bahagian Mesir, kata seorang wartawan AFP.

Seorang wartawan AFP di bahagian Palestin pula melihat 36 lori kosong memasuki terminal dan menuju ke arah Mesir, di mana ia akan dimuatkan dengan bantuan.

Empat ambulans, dua kenderaan PBB dan dua kenderaan Palang Merah turut kelihatan menuju ke pintu sempadan Rafah.

Pesawat kargo dan lori yang membawa bantuan kemanusiaan sudah terkandas selama beberapa hari di lintasan Rafah di sebelah Mesir.

Gaza yang mempunyai 2.4 juta orang dikenakan sekatan oleh Israel sejak 2007.

Lintasan Rafah adalah satu-satunya pintu sempadan antara Semenanjung Gaza dan Mesir dan satu-satunya lintasan yang tidak dikawal rejim zionis Israel.

Terdahulu, konflik di Gaza dan sekatan Israel bermula apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa menerusi serangan mengejut pelbagai serampang termasuk pelancaran roket dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara pada 7 Oktober lalu.

Pencerobohan itu sebagai membalas dendam terhadap serbuan ke atas Masjid al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh Israel.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Kini, Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk, tanpa bekalan elektrik, selain kehabisan bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan.

Sekurang-kurangnya 4,137 rakyat Palestin, termasuk 1,524 kanak-kanak dan 1,000 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 4:03 PM