Hind Rajab. AFP
Hind Rajab. AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Seorang kakitangan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang menerima panggilan kecemasan Hind Rajab, sempat membacakan ayat al-Quran ketika cuba menenangkan kanak-kanak yang ketakutan itu.

Hind ditemukan mati pada 10 Februari, manakala dua anggota paramedik yang dihantar untuk menyelamatkannya turut meninggal dunia, 12 hari selepas terputus hubungan dengan PRCS.

Dalam rakaman audio panggilan telefon itu, seorang kakitangan PRCS menahan sebak dalam perbualan terakhir bersama kanak-kanak itu sambil membacakan al-Quran kepada Hind.

PRCS berkata, dalam perbualan itu, Hind, 6, merayu kepada pasukan penyelamat mereka selama lebih tiga jam untuk menyelamatkannya.

Katanya, kanak-kanak itu ketakutan dan bersendirian di dalam kereta dengan dikelilingi saudara-maranya yang terbunuh dalam serangan Israel.

PRCS menuduh Israel sengaja menyasarkan ambulans dengan bom.

PRCS turut menyiarkan rakaman kenderaan musnah.

Ambulans itu ditemukan hanya beberapa meter dari kereta keluarga Hind, yang dikatakan remuk dan penuh dengan kesan peluru.

Sepupunya, Mohammed Hamada, 28, yang berada di Frankfurt, Jeman, memberitahu, dia masih mengingati perbualan terakhir mereka ketika Hind menunggu bantuan bagi menyelamatkannya.

"Hind merayu kepada saya datang selamatkan dia. Dia beritahu kakinya cedera.

"Saya menangis kerana tidak dapat buat apa-apa.

"Isteri saya sempat memujuknya supaya jangan takut, Tuhan akan melindunginya dan dia membalas dengan okey. Saya rasa dia lagi berani daripada kita semua," katanya ketika ditemu bual The Guardian.

AMBULANS yang musnah akibat serangan Israel. Ia adalah ambulans yang dihantar bagi menyelamatkan Hind Rajab. FOTO Reuters
AMBULANS yang musnah akibat serangan Israel. Ia adalah ambulans yang dihantar bagi menyelamatkan Hind Rajab. FOTO Reuters

Mohammed berkata, sejak berita kematian sepupunya diketahui, mereka hidup dalam kesedihan dan cuba memulihkan semangat.

"Kami ingat ada peluang untuk dapatkan jenazah dan mengebumikan mereka tetapi ia tidak seperti diharapkan.

"Ia seperti deja vu jadi kami sekali lagi berendam air mata," katanya.

Katanya, keluarganya belum mengetahui bagaimana Hind meninggal dunia, namun mereka menganggap tentera Israel bertanggungjawab.

"Mereka berpindah dengan selamat dari satu tempat ke tempat lain kerana mereka mendengar tembakan... kemudian mereka diserang.

"Palang Merah menyelaraskan (penyelamatan) dengan IDF (Pasukan Pertahanan Israel), jelas mereka melakukannya dan kemudian (paramedik) ditembak juga. Jadi siapa lagi yang harus bertanggungjawab?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 2:51 PM