GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

LAGOS: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang berlakon dirinya diculik ditahan bersama empat rakan subahat selepas polis menyerbu sebuah rumah di Jos, Nigeria, baru-baru ini.

Semua suspek berusia 15 hingga 22 tahun itu ditahan selepas cuba menuntut wang tebusan sebanyak €1,250 (RM5,791) daripada bapa remaja berkenaan, lapor polis hari ini.

Ketua Polis Plateau, Terna Tyopev berkata kepada AFP, lakonan penculikan itu dirancang dengan baik.

“Mereka masih ditahan kerana polis mahu mengetahui motif sebenar dan sekiranya mereka turut terbabit dalam kes penculikan lain yang pernah berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

Tyopev berkata, suspek masing-masing memberi dakwaan meragukan termasuk mereka mahu mendapatkan wang tebusan untuk membeli pakaian.

Beberapa hari sebelum kejadian, bapa remaja itu menjual keretanya untuk membayar yuran sekolah anak-anak dan bil.

Suspek ketika menghubungi lelaki itu mengugut akan membunuh anaknya sekiranya dia membuat laporan polis.

Namun, bapa remaja terbabit segera meminta bantuan polis yang berjaya mengesan tempat persembunyian kumpulan berkenaan berdasarkan nombor telefon yang diberi penculik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 11:59 PM