GAMBAR disiarkan KCNA menunjukkan Kim memeriksa ujian SLBM di sebuah lokasi yang tidak diketahui di Korea Utara.
GAMBAR disiarkan KCNA menunjukkan Kim memeriksa ujian SLBM di sebuah lokasi yang tidak diketahui di Korea Utara.
AFP

Seoul: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un semalam mendakwa negaranya mencapai kejayaan hebat ‘yang membuka mata’ dengan peluru berpandu balistik lancaran kapal selam (SLBM) semalam yang disifatkan mampu menyerang Seoul serta Amerika Syarikat (AS) bila-bila saja.

Pelancaran peluru berpandu itu lewat kelmarin berlaku dalam pada Pyongyang dibimbangi bersiap-sedia menjalankan ujian nuklear kelimanya.

Namun, hanya beberapa jam kemudian Korea Utara mencadangkan moratorium terhadap ujian nuklear jika AS menggantung latihan ketenteraan tahunannya dengan Korea Selatan.

AS dan Britain menyelar ujian SLBM itu sebagai melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menggesa Pyongyang supaya tidak lagi melakukan apa-apa yang mampu menggugat kestabilan rantau itu.

Agensi berita kebangsaan Korea Utara, KCNA mendakwa latihan dipantau secara peribadi oleh Kim itu membuktikan kehebatan sistem pelancaran bawah air negara itu.

Ia turut memetik Kim berkata, Pyongyang mampu ‘memukul pasukan boneka Korea utara dan imperalis AS bila-bila masa saja.’

Imej disiarkan di rangkaian televisyen kebangsaan menunjukkan Kim di atas dek kapal selam sebelum menyaksikan ujian dilancarkan menggunakan teropong dari darat dan menemui anak kapal serta saintis selepas itu.

“Kejayaan membuka mata ini satu lagi hadiah berharga saintis dan juruteknik pertahanan kepada pemimpin dan parti,” kata Kim.

Kementerian pertahanan Korea Selatan berkata, peluru berpandu itu - yang dilepaskan dari kapal selam di Laut Jepun - terbang kira-kira 30 kilometer dan menunjukkan kemajuan teknologi dalam keupayaan SLBM Pyongyang.

Jurucakap kementerian Moon Sang-Gyun berkata: “Kami percaya Korea Utara mampu melancarkan senjata SLBM dalam tiga atau empat tahun, malah mungkin lebih cepat jika berusaha keras dengan projek ini.”

Korea Utara berusaha memperoleh keupayaan SLBM yang mampu membawa kekuatan nuklearnya ke tahap lebih tinggi seterusnya membolehkan serangan menjangkaui semenanjung Korea selain membalas serangan nuklear.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:16 AM