MANGSA cedera dibawa ke Hospital Nasser. FOTO Reuters
MANGSA cedera dibawa ke Hospital Nasser. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Paramedik di Khan Younis tidak dapat membantu orang awam yang cedera ketika tentera Israel mara ke bandar itu, kata Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

The National News melaporkan, tentera darat dan kereta kebal Israel pada Selasa mara ke Khan Younis iaitu bandar terbesar di selatan Gaza, selepas mengarahkan penduduk Palestin di situ berpindah ke tempat lain.

Menurut pengendali bilik kawalan PRCS, Osama Kahlout, sebahagian warga Palestin yang berlindung di kawasan Khan Younis, yang kebanyakannya melarikan diri dari utara Gaza selepas meletusnya perang semasa, kini terperangkap.

Pada petang Isnin, Kahlout berkongsi video yang menunjukkan pengeboman tentera Israel melalui serangan udara dan tembakan kereta kebal yang katanya terletak kurang satu kilometer (km) dari ibu pejabat PRCS di Hospital Al Amal, di barat Khan Younis.

"Pasukan kami yang menjawab panggilan bantuan, dalam satu kes 70 orang yang dikepung, tidak dapat sampai ke kawasan itu kerana kehadiran Israel di sana.

"Kami cuba menyelaraskan dengan pihak ketiga untuk membenarkan kami melalui (kawasan itu) tetapi usaha itu adalah sia-sia," katanya.

Kahlout berkata, pasukan PRCS juga ditembak pada Isnin sewaktu bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

"Keselamatan petugas kami diutamakan," tambahnya.

Ketika liputan telekomunikasi terputus di Gaza, orang ramai bergelut untuk meminta bantuan dan mengambil langkah terdesak untuk menerima rawatan perubatan.

Beliau berkata, ibu pejabat PRCS dan Hospital Al Amal sesak dengan keluarga yang berlindung di situ.

"Terdapat sekurang-kurangnya 15,000 orang kesemuanya. Di luar pintu pejabat saya, sekarang, terdapat 12 keluarga yang tinggal di ruang seluas 70 meter persegi," katanya.

"Tiada tempat untuk sesiapa pergi. Saya hanya tinggal di sini dan akan terus bekerja. Kami akan kekal di sini sehingga nafas terakhir kami," kata Kahlout.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 11:25 AM