FIRLI Bahuri.  FOTO Reuters
FIRLI Bahuri. FOTO Reuters
AFP

Jakarta: Pengerusi suruhanjaya antirasuah Indonesia dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah, menurut polis negara itu, hari ini.

Ini adalah kali pertama ketua badan pencegah rasuah negara itu dituduh melakukan jenayah berkenaan.

Rasuah kekal berleluasa di negara kepulauan itu, yang menduduki tempat ke-110 daripada 180 negara dalam indeks persepsi rasuah terkini Transparency International.

Polis menamakan Ketua Komisi Pemberantasan Rasuah (KPK) Indonesia Firli Bahuri sebagai suspek pada Rabu atas dakwaan peras ugut dan menerima hadiah atau ganjaran dalam urusan undang-undang dengan Kementerian Pertanian dari 2020 hingga 2023.

Pengarah polis bagi jenayah khas Jakarta, Ade Safri Simanjuntak memberitahu pemberita bahawa Bahuri akan disoal siasat "sebagai ketua KPK atas kapasitinya sebagai suspek dalam dakwaan jenayah rasuah."

Bulan lalu, bekas menteri pertanian Indonesia Syahrul Yasin Limpo ditahan selepas beberapa siri tuduhan termasuk menyeleweng dana awam bernilai lebih AS$800,000 (kira-kira RM3.74 juta).

Dakwaan terhadap Bahuri dikaitkan dengan kes Limpo.

Bahuri - bekas ketua polis di wilayah Sumatera Selatan dan Nusa Tenggara Barat yang menjadi ketua KPK pada 2019 - masih belum ditahan dan polis tidak menyatakan sama ada mereka berhasrat untuk menahannya.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, polis menggeledah dua hartanah, menemu bual lebih 90 individu dan merampas bukti termasuk dokumen pertukaran asing dalam dolar Singapura dan dolar Amerika Syarikat (AS) antara 2021 dan 2023 berjumlah lebih 7.4 bilion rupiah (AS$478,000 atau kira-kira RM2.239 juta), kata polis.

Suruhanjaya itu tidak segera menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen, tetapi Bahuri sebelum ini beberapa kali menafikan dakwaan itu.

Jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah, dia boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Indonesia menahan berpuluh-puluh pegawai awam kerana rasuah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2021, seorang bekas menteri hal ehwal sosial dipenjarakan selama 12 tahun selepas disabitkan kesalahan menerima rasuah AS$1.2 juta (kira-kira RM5.62 juta) yang dikaitkan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin ketika pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 2:07 PM